Ultras Sukma Penang : “Kami tak ramai, tapi ada untuk tiup semangat atlet!”

PASUKAN sorakan negeri Ultras Sukma Penang diketuai Nuar Hadi (depan, kiri sekali) merakamkan gambar kenang-kenangan semasa sesi latihan di sini menjelang tengah hari tadi.

SAYUP-SAYUP kedengaran pukulan gendang dan sorakan Ultra Sukma Penang di Espira Kinrara Resort, Puchong, Selangor Darul Ehsan yang menjadi ‘perkampungan’ Urus Setia Utama Kontinjen Pulau Pinang sempena temasya Sukan Malaysia (SUKMA) ke-20 yang dijadualkan berlangsung pada 16 hingga 24 September ini.

NUAR Hadi

Nuar Hadi, 37, yang mengetuai pasukan sorakan kontinjen negeri memberitahu sesi latihan tersebut sebagai persiapan akhir sebelum mengambil bahagian di bangku penyokong dalam acara-acara tertentu sebagaimana dihasratkan oleh Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP).

Dalam suara yang serak-serak basah dan bertenaga, beliau berharap 20 orang yang menyertai pasukan sorakan negeri pada kali ini akan memainkan peranan tersendiri demi meniupkan semangat para atlet sekali gus merebut kejuaraan dalam acara yang dipertandingkan kelak.

“Kita tidak ramai, seramai 20 orang sahaja, sebagai pasukan sokongan moral kepada para atlet kita untuk acara-acara sukan yang sesuai serta mengikut keperluan sebagaimana disusun oleh pengurus pasukan dan MSNPP sendiri.

“Bukan semua acara kita akan beraksi, pasukan sorakan kita ada macam bola sepak dan sepak takraw (tetapi) macam acara sukan yang atlet memerlukan lebih tumpuan di arena, tidak ada keperluan lah Ultras Sukma Penang di sana.

“Kami tidak ramai, tapi ada untuk tiup semangat atlet Pulau Pinang,” katanya kepada wartawan ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 13 September 2022.

Buletin Mutiara difahamkan 20 anggota pasukan sorakan Ultras Penang berkenaan merupakan sukarelawan dan mahasiswa dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan beberapa lagi Universiti Awam lain.

Mari kita hafal dahulu lima lirik sorakan ini, sebelum menyertai Ultras Penang beraksi di arena nanti.

PAHLAWANKU
Berjuanglah….
Pahlawanku….
Satukanlah tekad semangatmu
Kami rela…
Korban nyawa…
Demi Pulau Pinang tercinta
Ale ale….Ale ale…
Ale ale….Ale ale…
Ale ale….Ale ale…
Ale Ale Ale Ale Ale

TAK KENAL LELAH
Walau panas matahari
Walau hujan turun lagi
Kami setia berdiri di sini
Kalah menang, Kami tak peduli
Tak kenal Lelah
Pantang menyerah
Hadapilah lawanmu..
Ayuh Pulau Pinang
Bangkitlah
Harialah musuhmu…

 

OH AYUH
Oh ayuh
Ayuh Pulau Pinang
Hari ini,
Kita mesti menang……..!!!!!!

 

OH PENANGKU
Oh Penangku
Teruskan Berjuang
Demi kebanggaan
Demi kemenangan.

 

HARIA PENANG (MANGGIS)
Haria haria Penang haria
Haria Penang sampai juara
(la la la la la la)
Hapuskan semua musuhmu
(Opponent) hoiii, di haria saja.

SESI latihan sorakan Ultras Sukma Penang di sini antara yang sempat dirakamkan lensa Buletin Mutiara tadi.