SUNGAI ACHEH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap dengan siapnya projek penaiktarafan persimpangan Jalan Sungai Acheh – Sungai Chenaam, ia akan meningkatkan lagi infrastruktur awam kawasan luar bandar di sini.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa projek tersebut menelan belanja kira-kira RM1.7 juta dan terpaksa mengambil masa selama setahun untuk disiapkan kerana melibatkan peruntukan berwajib bagi tempoh dua tahun kalender Belanjawan Negeri.
“Di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) cuba jadualkan pelaksanaan projek mengikut kalender belanjawan.
“Kalau satu-satu projek infrastruktur memerlukan RM3 juta umpamanya, mungkin pada tahun pertama diperuntukan RM1.5 juta dan baki RM1.5 juta akan diperuntukan dalam belanjawan tahunan berikutnya,” jelasnya
selepas menyampaikan ucapan dalam majlis perasmian projek tersebut di sini pada 12 Oktober 2025.
Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi Zinol yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh; Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Seberang Perai Selatan (SPS), Ir. Ts. Shaiful Munir Leman; Ketua Balai Polis Sungai Acheh, Sarjan Mejar Mohamad Zamzuri Abdul Mutalip dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Komuniti Kampung Persekutuan (JPKKP) Jalan Baru, Zakaria Ismail turut sertai sidang media tersebut.
Di samping itu, Kon Yeow menyatakan bahawa syor Rashidi supaya jajaran jalan raya sedia ada dari Sungai Acheh ke Sungai Chenaam diperlebar lagi, ia akan dipertimbang dalam kalender belanjawan tahunan akan datang.
Sementara itu, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota memberitahu bahawa Belanjawan 2026 Pulau Pinang yang bakal dibentang nanti berkemungkinan dengan anggaran defisit yang lebih kurang sama berbanding bajet tahun ini.
“Pada tahun ini (2025), walaupun belanjawan negeri dengan anggaran defisit kira-kira RM30 juta, akan ada surplus (lebihan kewangan) dan bukan defisit,” ujarnya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut memberi penjelasan mengenai cadangan sebelum ini untuk memohon pinjaman Persekutuan memandangkan rizab Kerajaan Negeri kian berkurangan dalam tempoh lima tahun belakangan ini.
“Selalunya, kita (Kerajaan Negeri) tidak memohon pinjaman daripada Kerajaan Persekutuan tanpa sebab.
“Apa yang diumumkan dalam bajet tahun lepas adalah pendahuluan yang masih tidak dikreditkan ke (akaun Kumpulan Wang Disatukan negeri) sebab pendahuluan itu akan dibayar balik berdasarkan apa yang kita terima,” respons beliau.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN