SERI DELIMA – Empat projek rumah Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang sedang dan bakal dibangunkan di negeri ini dijangka dapat membantu Kerajaan Negeri mencapai sasaran perumahan mampu milik menjelang tahun 2030.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa sasaran tersebut tidak akan dicapai tanpa adanya kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk Kerajaan Persekutuan serta pihak pemaju perumahan.
“Harap apa yang ditetapkan sebagai sasaran di bawah Visi Penang2030 iaitu menyediakan 220,000 unit rumah mampu milik (RMM) pelbagai kategori dan pelbagai harga dapat dicapai dengan kerjasama semua pihak.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri, usaha memenuhi keperluan perumahan mampu milik di Pulau Pinang ditetapkan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang perlu dicapai menjelang tahun 2030.
“Justeru, adalah diharapkan agar Kerajaan Persekutuan dapat terus bersama-sama Kerajaan Negeri Pulau Pinang dalam usaha menjayakan agenda ini demi rakyat keseluruhannya,” ucapnya pada majlis pecah tanah bagi pembinaan projek rumah PR1MA Residensi Bukit Gelugor di sini sebentar tadi.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin; Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syeerlena Abdul Rashid dan Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Pulau Pinang, Saadon Moktar; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan PR1MA Malaysia, Datuk Haji Mohd. Nazri Md. Shariff serta Pengerusi Eksekutif Ideal Property Group, Datuk Alex Ooi turut hadir.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menjelaskan bahawa projek rumah PR1MA Residensi Bukit Gelugor bakal menyediakan 2,850 unit rumah mampu milik berukuran 850 kaki persegi kepada rakyat di negeri ini.
Malah, menurut beliau, projek berkenaan merupakan projek rumah PR1MA pertama dilancarkan KPKT di negara ini semasa penularan pandemik COVID-19.
“Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Perancang Negeri komited membantu menyegerakan proses pertimbangan dan kulusan serta proses kebenaran merancang bagi projek PR1MA selagi mana ia mematuhi peraturan dan garis panduan yang ditetapkan.
“Saya percaya projek ini akan dapat disiapkan dengan jayanya demi rakyat terbanyak,” ujarnya.
Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah dimaklumkan secara rasmi terdapat empat projek PR1MA di negeri ini dalam peringkat perancangan dan peringkat awal pembinaan termasuk dua projek di kawasan Bukit Gelugor.
“Dua lagi tanah yang bakal dibangunkan PR1MA adalah di kawasan Batu Ferringghi serta Seberang Perai dan akan dimajukan selepas isu berkaitan tanah di situ diselesaikan,” ulasnya.
Dalam pada itu, Zuraida memaklumkan bahawa Residensi Bukit Gelugor merupakan projek PR1MA model baru yang pertama dilaksanakan di negara ini iaitu melalui kerjasama antara Kerajaan Negeri, Kerajaan Persekutuan dan pihak pemaju (Ideal Property Group).
“Projek ini menyediakan 2,850 unit dengan pelbagai peringkat harga untuk memenuhi permintaan daripada kategori pendapatan berbeza dengan fasiliti kelas pertama seperti kolam renang, dewan serta sebagainya.
“Ini merupakan model baru yang dibuat PR1MA kerana mendapati model lama dilihat kurang mampan dan tidak dapat dilaksanakan kerana memerlukan pelaburan yang tinggi daripada kerajaan.
“Dan, kita harap dengan projek ini ia dapat membantu Kerajaan Negeri Pulau Pinang mencapai sasaran pemilikan rumah mampu milik oleh rakyat di negeri ini,” katanya.
Tambah Zuraida, selain projek di Bukit Gelugor, dua lagi projek PR1MA di negeri ini iaitu di Batu Ferringghi dan Permatang Pauh juga akan dibangunkan menggunakan model perniagaan sama.
Difahamkan, projek Residensi Bukit Gelugor bakal melibatkan pembinaan sejumlah 2,850 unit RMM di atas dua lot tanah iaitu Lot 3362 (Plot B) dan Lot 3363 (Plot C).
Projek berkaitan telah bermula pada Disember 2020 dan dianggarkan siap pada suku ketiga tahun 2024.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN