Caj air mentah, Kerajaan Negeri tunggu sebarang tindakan daripada Kedah

Admin

SERI DELIMA – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menunggu sebarang tindakan yang bakal diambil oleh Kerajaan Negeri Kedah berhubung isu tuntutan caj bekalan air mentah.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa sehingga kini, Kerajaan Negeri belum menerima apa-apa tuntutan rasmi daripada Kerajaan Negeri Kedah termasuk tindakan mahkamah sebagaimana dibangkitkan oleh Menteri Besarnya baru-baru ini.

“Apa jua tindakan yang mereka (Kedah) ambil, kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) lihat tetapi sekarang hanya ada cakap-cakap dalam akhbar sahaja dan belum (ada tindakan) rasmi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi projek rumah PR1MA Risedensi Bukit Gelugor di sini sebentar tadi.

Kon Yeow menegaskan bahawa rundingan berkaitan bekalan air mentah sepatutnya diadakan di peringkat Kerajaan Negeri dan bukannya oleh syarikat pengusaha air semata-mata.

“Setahu saya, lembaga pengurusan air Kedah ada menulis kepada pihak berkuasa air Pulau Pinang untuk mengemukakan tuntutan, tetapi kita (Pulau Pinang) sudah balas pada September lalu bahawa kita tidak setuju.

“Dan, rundingan ini hanya di peringkat syarikat pengusaha air dan bukannya di peringkat kerajaan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata bahawa hak Pulau Pinang berhubung penggunaan air mentah dari Sungai Muda telah diakui sendiri oleh Menteri Alam Sekitar dan Air berdasarkan jawapan di Parlimen baru-baru ini.

“Menteri akui hak Pulau Pinang dan mencadangkan supaya kita mungkin boleh beri sumbangan, tetapi Menteri Besar Kedah nampaknya tidak berminat sebaliknya tetap mahukan caj air mentah dan kita tidak setuju,” ulasnya.

Terdahulu, Menteri Besar Kedah dilaporkan berkata bahawa pihaknya tidak menolak kemungkinan membawa isu tuntutan bayaran caj air mentah terhadap Pulau Pinang ke mahkamah sekiranya masalah itu tidak dapat diselesaikan.

Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pihaknya masih mahu menyelesaikan perkara itu secara rundingan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu bahawa isu berkaitan pampasan kepada nelayan yang terjejas akibat projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pulau Pinang (PSR) masih dalam proses rundingan.

“Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB) akan mengadakan pertemuan dengan Kerajaan Negeri pada Isnin ini (esok).

“Kita (Kerajaan Negeri) masih lagi menunggu keputusan muktamad, dan selepas itu barulah akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : ALISSALA THIAN