Peruntukan bagi projek RTB, Pulau Pinang tidak lagi dianak tiri – Exco

Admin
再里尔在州议会总结。

GEORGE TOWN – Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari menyifatkan bahawa sejak Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pentadbiran di peringkat Persekutuan, Pulau Pinang tidak lagi dianaktirikan dalam hal peruntukan membabitkan projek-projek rancangan tebatan banjir (RTB).

 

Menurut beliau, projek RTB Sungai Pinang yang telah dimohon sejak hampir 20 tahun lalu kini telah diluluskan dan dimulakan.

 

“Malah, jumlah peruntukan yang telah diterima oleh Pulau Pinang bagi projek-projek tebatan banjir tahun lalu adalah sebanyak RM194.5 juta.

 

“Daripada jumlah tersebut, RM150 juta untuk RTB Sungai Pinang; RM10 juta untuk RTB Teluk Kumbar; RTB Teluk Bahang (RM8 juta); RTB Pondok Upeh (RM10 juta) dan RTB Sungai Kechil (RM16.5 juta),” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas Pulau Pinang dekat sini tadi.

 

Jelas Zairil, Kerajaan Negeri Pulau Pinang sentiasa meletakkan agenda berkaitan banjir sebagai keutamaan.

 

“Hal ini dapat dilihat melalui komitmen kewangan yang diperuntukan oleh Kerajaan Negeri setakat ini berjumlah RM245,674,526.20 bagi 86 projek yang sedang dilaksanakan dalam pelbagai peringkat di seluruh negeri.

 

“(Dan) ia terdiri daripada 68 projek yang dibiayai melalui caruman perparitan berjumlah RM233,224,526.20 dan 17 projek daripada peruntukan pembangunan negeri P08 sebanyak RM2.45 juta serta satu projek di bawah Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bernilai RM10,000.

 

“Saya yakin tiada Kerajaan Negeri lain di negara ini yang memperuntukkan jumlah begitu besar bagi tujuan menangani banjir,” maklumnya.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD