Exco respons Ketua Pembangkang isu laluan basikal ‘mahal’

Admin

GEORGE TOWN – Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo menjawab isu yang dibangkitkan Ketua Pembangkang, Muhamad Yusoff Mohd. Noor mengenai purata kos projek pembinaan laluan basikal di Pulau Pinang yang didakwa terlalu tinggi.

Menurut Jagdeep, RM30.4 juta keseluruhan jarak laluan sepanjang 30.1 kilometer (km) itu adalah termasuk kos pembinaan jambatan dan jejantas.

“YB Sungai Dua (Muhamad Yusoff) telah membangkitkan isu mengenai purata kos yang tinggi bagi pembinaan laluan basikal di Pulau Pinang iaitu RM1.15 juta per kilometer (km).

“MBPP ingin memaklumkan bahawa jumlah keseluruhan kos pembinaan laluan basikal termasuk jambatan dan jejantas adalah sebanyak RM30.4 juta untuk jarak sepanjang 30.2 km,” jelasnya semasa sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Yang Ke-14 di Dewan Sri Pinang pada 2 Mei 2019.

Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat memberitahu bahawa kos pembinaan jambatan dan jejantas sahaja dalam projek tersebut adalah RM19.208 juta.

“Ini bermakna kos pembinaan laluan basikal hanya adalah RM11.192 juta bersamaan RM0.516 juta per kilometer,” ujarnya.

Lokasi pembinaan jambatan dan jejantas adalah seperti berikut:-

a) Jambatan merentangi Sungai Pinang

b) Jambatan merentangi Sungai Keluang

c) Jambatan merentangi Sungai Tiram

d) Jambatan merentangi parit besar Malaysian Oxygen (Mox)

e) Jejantas basikal dan pejalan kaki merentangi Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu

f) Jambatan merentangi Sungai Ara

g) Jambatan merentangi Sungai Nibong

h) Jambatan merentangi saluran air (outfall) S22

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD