Peruntukan BKN meningkat 17.62 peratus simbol keprihatinan Kerajaan Negeri, kata Ketua Menteri

Admin
8052fc51 b9d5 4bd4 964e 1f03bd5be9fe KETUA Menteri merakamkan gambar kenangan dalam Majlis Penghargaan BKN Pulau Pinang di sini pada 11 September 2025.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyampaikan Biasiswa Kecil Negeri (BKN) bagi tahun 2025 yang berjumlah RM926,160 kepada 1,344 pelajar Tingkatan 1 hingga Tingkatan 5 dari 112 sekolah sekitar Pulau Pinang.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memberitahu bahawa pada tahun 2024, Kerajaan Negeri meluluskan sejumlah RM787,440 BKN kepada 1,244 pelajar terpilih dari 115 sekolah menengah.

“Kita telah meningkatkan jumlah penerima BKN bagi tahun 2025 dengan peningkatan peruntukan yang diluluskan sebanyak 17.62 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Majlis hari ini adalah manifestasi keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masa depan generasi muda Pulau Pinang, justeru, saya berharap biasiswa ini menjadi baja yang menyuburkan minda, memperkukuh cita-cita dan melahirkan generasi pelapis yang bijaksana serta sedia menyumbang kembali kepada negeri dan negara,” jelasnya semasa merasmikan

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Perpaduan Masyarakat serta Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Mohamad Ghopran Yeop Hamzah turut sertai majlis tersebut.

Mengikut pecahan daerah, difahamkan, seramai 226 pelajar dari 30 sekolah sekitar Timur Laut menerima peruntukan BKN yang secara keseluruhannya beriumlah RM181,000, sementara Barat Daya pula, seramai 124 pelajar dari 11 sekolah menerima RM75,960.

Bagi Daerah Seberang Perai Utara (SPU), seramai 451 pelajar dari 27 sekolah menerima BKN berjumlah RM301,800, manakala bagi Seberang Perai Tengah (SPT) seramai 258 pelajar dari 27 sekolah menerima RM173,880. Dalam pada itu, daerah Seberang Perai Selatan (SPS) pula menerima peruntukan berjumlah RM193,440 yang mana melibatkan 285 pelajar dari 17 sekolah.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini turut menyalurkan bantuan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Mubaligh, Sekolah Cina, Sekolah Persendirian dan Sekolah Tamil dengan keseluruhan peruntukan bagi tahun ini berjumlah RM12.153 juta.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri hari ini turut menyalurkan bantuan kemasukan ke institusi pengajian tinggi (IPT) melalui skim iBiTA.

“Bantuan ini meliputi RM1,000 bagi pelajar yang mendapat tawaran ke IPT di Semenanjung Malaysia, manakala RM1,200 bagi mereka yang melanjutkan pengajian ke Sabah dan Sarawak, serta RM300 untuk pelajar yang diterima masuk ke politeknik.

“Bagi tahun 2024 sahaja, Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM591,600 yang memberi manfaat kepada 742 pelajar di seluruh negeri (sementara) bagi tahun 2025 dengan jumlah permohonan yang diterima meningkat dengan mendadak kepada 2,431 permohonan dari semua daerah, dan kini sedang melalui proses semakan serta kelulusan pada peringkat pejabat daerah,” ujarnya yang juga Ahli Dewam Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memberitahu bahawa pentadbirannya senantiasa proaktif memperkukuh infrastruktur pendidikan digital sebagai persediaan menghadapi keperluan abad ke-21.

“Usaha ini dimantapkan melalui siri jelajah ke sekolah-sekolah di seluruh negeri, termasuk penyerahan smartboard kepada sekolah-sekolah terpilih bagi memperkaya ekosistem pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan,” ulasnya lanjut.

Pada April lepas, tambah Kon Yeow, Pulau Pinang telah mencatat sejarah apabila diumumkan sebagai negeri pertama di Malaysia yang mencapai penajaan 100 peratus ‘smartboard’ bagi semua 396 sekolah berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

“Pencapaian ini membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan murid serta guru memperoleh akses penuh kepada teknologi pembelajaran digital yang moden,” jelasnya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS