Peruntukan Hal Ehwal Agama Islam ditambah lebih 300% sejak 2008 – Abdul Malik

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

GEORGE TOWN – Tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Teng Chang Yeow yang mempertikai keputusan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat (PR) menambah peruntukan Hal Ehwal Agama Islam sebanyak lebih 300 peratus sejak tahun 2008 jelas memaparkan wajah huduh dan perkauman sempit golongan terbabit.

Kenyataan tersebut ditegaskan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim melalui kenyataan medianya di sini baru-baru ini.

Abdul Malik dalam pada itu mencabar Chang Yeow yang juga Setiausaha Gerakan Pulau Pinang agar mengulangi kenyataannya kepada masyarakat Melayu, seperti mana kenyataan pemimpin PR bercakap dengan nada yang sama di kepada semua kaum.

“Saya juga mencabar pemimpin UMNO, khususnya Timbalan Pengerusi BN yang juga Ketua UMNO Pulau Pinang, Datuk Zainal Abidin Othman agar mendesak Chang Yeow supaya menarik balik kenyataannya yang cuba mengapi-apikan perkauman sempit dalam kalangan masyarakat Cina.

“Saya juga mencabar pemimpin Melayu pro UMNO yang bertopengkan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) seperti PERKASA, JATI, PAJIM, PERTIGA, BADAI, JMPP dan PKIM untuk membidas tindakan Chang Yeow,’’ katanya di sini.

Tambah beliau, pertikaian Chang Yeow terserlah sikap rasis, khianat, anti Melayu dan anti Islam.

“Tindakan Chang Yeow jelas menolak dakyah UMNO selama ini terhadap kerajaan negeri.

“Ia juga membuktikan kepada rakyat bahawa Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang berkhidmat dan bertanggungjawab kepada rakyatnya secara adil tanpa mengambilkira latar kaum, agama dan fahaman politik.

“Malah, sikap rasis dan busuk hati Chang Yeow itu juga mengesahkan selama lebih 50 tahun BN mentadbir Pulau Pinang, mereka menafikan hak masyarakat Melayu dan Islam dalam pelbagai bidang,” tegas beliau.

Lanjutan itu, Abdul Malik memberitahu bahawa kenyataan Chang Yeow turut mengesahkan bahawa bekas kerajaan BN di bawah pimpinan Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon tidak pernah meluluskan peruntukan hal ehwal agama Islam seperti diperuntukkan Kerajaan Negeri
PR kini.

“Tidak hairanlah, Melayu dan Islam terus terpinggir di bawah pimpinan UMNO/BN di negeri ini, kerana pemimpin jenis inilah yang menghalang perkembangan dan kemajuan Melayu Pulau Pinang selama ini.

“Kerajaan PR terpaksa menyelesaikan berbelas masalah, malah berpuluh tahun yang membelenggu masyarakat Islam di negeri ini. Antaranya, masalah kesesakan tanah perkuburan Islam di Jelutong yang berjaya diselesaikan dengan baik membabitkan perbelanjaan
sebanyak RM20 juta untuk pengambilalihan tanah milik bukan Islam di sini,’’ jelasnya.

ABDUL Malik Abul Kassim.
ABDUL Malik Abul Kassim.

 

chartIslam