Peruntukan i-Sejahtera meningkat kepada RM65 juta pastikan tiada golongan terpinggir

Admin
img 20251114 wa0115

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang meningkatkan peruntukan bagi program Kebajikan, i-Sejahtera kepada RM65 juta pada tahun 2026 berbanding RM53.57 juta pada tahun sebelumnya.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peningkatan itu membuktikan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam menyantuni golongan rentan dan menghargai sumbangan rakyat negeri ini.

“Pada tahun 2024, Kerajaan Negeri telah mengagihkan sejumlah RM56.24 juta termasuk bantuan pengurusan jenazah kepada 286,335 penerima.

“Sehingga 31 Oktober 2025, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sejumlah RM53.57 juta melibatkan 287,923 penerima.

“Malah, sebagai sebuah negeri yang cakna kebajikan, Kerajaan Negeri berhasrat meneruskan program ini pada tahun 2026 dengan anggaran peruntukan sebanyak RM65 juta bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir mahupun dipinggirkan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Tahun 2026 Negeri Pulau Pinang di Dewan Undangan Negeri dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow menyatakan bahawa sebagai sebuah negeri yang turut meraikan kepelbagaian agama dan perayaan utama, Kerajaan Negeri telah melaksanakan program sambutan Penang Harmoni serta memperkenalkan Streets of Harmony baharu di Bukit Mertajam dan Bayan Baru.

Selain itu tambah beliau, Kerajaan Negeri turut menganjurkan pelbagai perayaan utama, program Eksplorasi Rumah Ibadat dan sesi dialog antara agama secara berterusan dalam usaha memperkukuh keharmonian antara masyarakat di negeri ini.

“Secara keseluruhan, Kerajaan Negeri memperuntukkan sekurang-kurangnya RM5 juta bagi menyokong program dan projek infrastruktur Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) di Pulau Pinang.

“Peruntukan ini tidak termasuk peruntukan di bawah Jawatankuasa MMK Hal Ehwal Bukan Islam berjumlah RM150,000 dan Akaun Amanah RIBI.

“Sehingga September 2025, sebanyak 77 Rumah Ibadat Bukan Islam telah menerima sumbangan daripada Kerajaan Negeri bagi pelaksanaan pelbagai program dan projek naik taraf,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD