Peruntukan kepada agama Islam naik 300% berbanding kerajaan dahulu, respons Guan Eng

GEORGE TOWN – Tuduhan Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Seri Abdul Hadi Awang kononnya agama Islam diabaikan di bawah Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang mungkin bertujuan untuk menutup kelemahan tadbir urus Kerajaan Negeri Kelantan belakangan ini.

Justeru, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi menasihatkan Abdul Hadi dan PAS supaya bekerja keras meningkatkan mutu pentadbiran dalam Kerajaan Negeri Kelantan, supaya tak hilang dirampas UMNO dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

“Sehingga hari ini tidak dapat bina rumah untuk mangsa banjir tiga tahun lepas.

“Bila berlaku banjir, ianya lebih teruk kerana hutan ditebang, balak ditebang semua untuk siapa? Kerana gagal menjalankan ekonomi dengan lebih baik, itulah akibatnya,” responsnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan ketika diminta mengulas mengenai kenyataan terbaru Abdul Hadi, yang juga Ahli Parlimen Marang baru-baru ini.

Guan Eng memberi respons itu selepas Majlis Penyerahan Cek Replika Sumbangan Kepada 22 Sekolah Mubaligh Peringkat Negeri 2017 di sini.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu, pentadbirannya sejak Mac 2008 bukan sahaja memberi tanah, malah memberi peruntukan dalam bentuk wang kira-kira RM65 juta, demi memartabatkan Islam dan umat di Pulau Pinang.

“Beliau (Abdul Hadi) harus faham, peruntukan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kepada agama Islam naik 300 peratus berbanding kerajaan terdahulu.

“Tak kan beliau (Abdul Hadi) ada mata tidak nampak, telinga tidak dengar, hati tak rasa…saya rasa saya nak biarkan fakta-fakta membuktikan siapa yang betul, siapa yang batil.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng ketika membentangkan Bajet Kerajaan Negeri Pulau Pinang 2017 pada November lalu mengumumkan sejumlah RM49.4 juta diperuntukan kepada pembangunan hal ehwal agama Islam di negeri ini.

Mengikut perincian, peruntukan Kerajaan Negeri sejumlah RM49,375,900 untuk pembangunan Hal Ehwal Agama Islam bagi tahun 2017 adalah berikut:

• RM1,750,000 untuk program bantuan pendidikan kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR);

• RM930,000 untuk sumbangan Ex-Gracia guru-guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA);

• RM9,050,020 untuk projek-projek pembangunan Jabatan Hal Ehwal Agama dan Masjid Negeri;

• RM21,469,280 untuk peruntukan pengurusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam;

• RM2,964,270 untuk peruntukan mengurus Jabatan Mufti; • RM7,642,330 untuk peruntukan mengurus Jabatan Kehakiman Syariah;

• RM3,000,000 untuk bayaran saguhati pegawaipegawai masjid; dan

• RM2,570,000 untuk bantuan khas wang/bonus kepada guru KAFA, guru agama, guru pondok, guru tahfiz, guru Tadika Islam (TADIS), sumbangan kepada Ijtimak Huffaz, sumbangan kepada masjid sempena bulan Ramadan, sambutan Maal Hijrah, Tilawah AlQuran Peringkat Negeri, Ujian Menghafaz Al-Quran, Pertandingan Nasyid, Sambutan Maulidur Rasul, peruntukan MMK Agama dan Tabung Perumahan Agama Islam.

“Tuduhan media massa BN (Barisan Nasional) bahawa kita (Kerajaan Negeri) hanya peruntukan RM8 juta sahaja, ini satu lagi dusta dan fitnah.

“Pecahan peruntukan Kerajaan Negeri 2017 untuk pembangunan hal ehwal agama Islam, jumlah peruntukan terkumpul sebenarnya hampir RM50 juta (RM49,375,900),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam, ketika itu.