Thaipusam dirai dalam suasana harmoni di P. Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan khas RM200,000 bagi meraikan sambutan Thaipusam di Pulau Pinang baru-baru ini.

Pengumuman tersebut dibuat Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pada suatu majlis khas sempena sambutan Thaipusam di Kuil Arulmigu Balathandayuthapani dekat Jalan Air Terjun di sini baru-baru ini.

Guan Eng memberitahu, sumbangan tersebut merupakan peruntukan khas setelah mengambil kira keperluan keagamaan dan tarikan pelancongan semasa meraikan Thaipusam.

“Saya ingin berterima kasih kepada pihak pengurusan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (HEB) kerana berjaya menganjurkan sambutan Thaipusam dengan jayanya tahun ini dalam suasana yang harmoni tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini,” ucapnya.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Timbalan Ketua Menteri II yang juga Pengerusi HEB, Prof. Dr. P. Ramasamy; Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Tanasekharan yang juga Timbalan Pengerusi HEB.

Bersempena itu, Guan Eng turut mengadakan lawatan ke Kuil Nattukkottai Chettiar dan Kuil Sri Meenakshi di sini.

Malah, beliau turut memenuhi acara tradisi dengan mengunjungi thaneer panthal (gerai minuman percuma) dan ruang korporat sepanjang Jalan Utama serta meluangkan masa kira-kira dua jam beramah – mesra dengan para pengunjung yang hadir.

Turut menemani, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim.