Pesta Belon Udara Panas P. Pinang kembali!

Gambar : PENANG GLOBAL TOURISM

GEORGE TOWN – Pesta Belon Udara Panas Pulau Pinang kembali tahun hadapan (2016)! Eksekutif Komunikasi Penang Global Tourism (PGT), Janice Kua dalam kenyataannya menyatakan bahawa acara tersebut bakal berlangsung pada 9 dan 10 Februari 2016 di Padang Polo di sini iaitu sempena sambutan Tahun Baru Cina.

“Acara anjuran AKA Ballons Sdn. Bhd. melalui sokongan Kerajaan Negeri dengan kerjasama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan PGT tersebut bakal mempamerkan 15 belon udara panas dalam pelbagai bentuk.

“Ini bermakna, orang ramai terutamanya penduduk Pulau Pinang sekali lagi berpeluang melalui pengalaman ‘terapung’ di udara buat kali kedua,’’ katanya di sini baru-baru ini.

Selain pemeran belon, turut diadakan adalah pertunjukan night glow, belon udara yang melayang bebas, cold inflation, bengkel kreatif dan pelbagai lagi khas untuk seisi keluarga.

Penganjuran adalah terbuka kepada semua peringkat umur bermula 7 pagi hingga 9.30 malam sepanjang tempoh berlangsungnya program.

Serentak penganjuran berkaitan, turut diadakan adalah Pesta Belon Udara Panas Mini 13 Disember ini bermula pada 7 hingga 10 pagi di Occupy Beach Street di sini.

“Paling menarik adalah Bengkel Kraftangan Belon Kertas Mini yang terbuka kepada kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah,’’ jelas beliau.

Bagi maklumat lanjut dan acara-acara terkini, layari, www.penanghotairballonfiesta. com atau info@ penanghotairballonfiesta.com