Struktur strategi pemasaran ikut perubahan ekonomi – TKMI

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING

BAYAN LEPAS – Usahawan di Pulau Pinang diseru supaya menstrukturkan semula strategi pemasaran masing-masing supaya pendekatan berkaitan sesuai dengan persekitaran ekonomi yang berubah-ubah kebelakangan ini .

Kenyataan tersebut dinyatakan Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon ketika membentangkan formula ‘PESAT’ atau Profesional, Excellent, Self Dicipline, Active Learning and Teamwork pada Majlis Anugerah Usahawan Cemerlang Business Coaching 2015 di sini baru-baru ini.

Jelas beliau, sekiranya seseorang usahawan ingin berjaya dalam bidang perusahaan diceburi, mereka perlu memiliki matlamat serta sasaran.

“Malah, matlamat serta sasaran tersebut perlu distrukturkan semula mengikut kesesuaian persekitaran ekonomi supaya tidak menghadapi kegagalan kelak,’’ ucapnya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat pada majlis berkaitan.

Turut hadir, Penolong Pengurus Kanan Bahagian Pembangunan Usahawan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Amran Hashim dan Pengarah syarikat pengendali program Business Coaching, Smart Paradise Corporation Sdn. Bhd., Dr. Abdul Malik Shukor.

Pada majlis tersebut, lebih 20 usahawan cemerlang terpilih diraikan ekoran kejayaan meningkatkan pendapatan hasil jualan masingmasing.

Antaranya, Zaida Zainon, 35, yang mengusahakan perniagaan rekaan dalaman yang dinobatkan sebagai usahawan paling cemerlang dengan gelaran johan; pengusaha perniagaan produk stokin, Lee Swee Lim, 46, (naib johan) dan pengusaha perniagaan busana muslimah, Nor Azimah Azli, 23, (ketiga).

Mengulas lanjut, Mohd. Rashid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak memberitahu bahawa pihaknya dengan kerjasama PDC berjaya melatih 20 usahawan tempatan menerusi Program Business Coaching 2015 yang dilangsungkan pada tempoh Mei hingga Oktober lalu.

Dalam pada itu, Zaida ketika ditemui Buletin Mutiara menyatakan program tersebut banyak membuka peluang kepada beliau untuk memperbaiki perniagaan sedia ada.

“Hasil tunjuk ajar dan kesungguhan mengaplikasikan apa yang dipelajari, alhamdulillah saya berjaya merekodkan hasil keuntungan tambahan.

“Banyak suntikan semangat dan dorongan, asalkan kita berani mencuba apa saja, Insya Allah, kita mesti boleh berjaya,” ujarnya yang kini memiliki perniagaan rekaan dalaman sendiri yang terletak di Bangunan Wakaf Setee Aisyah di Seberang Perai.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);