PH mampu tubuh Kerajaan Pusat yang lebih stabil, kata Kon Yeow

PULAU BETONG – Pakatan Harapan (PH) mesti menang sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membentuk sebuah Kerajaan Persekutuan yang lebih stabil serta berpaksikan aspirasi rakyat.

Dengan mendapat majoriti mudah, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa PH tidak perlu lagi bertolak-ansur dengan gabungan parti politik yang lain bagi menubuhkan Kerajaan Persekutuan kelak.

KETUA Menteri

Beliau yang juga calon PH bagi kawasan Parlimen P046 Batu Kawan berkata demikian semasa menyampaikan ceramah umum di Balik Pulau di sini pada 10 November 2022.

“Tahukah bahawa pengundi dan rakyat telah bosan dengan keadaan politik dalam negara kita.

“Kalian ini mereka (rakyat) boleh lagi bertolak-ansur dengan ketidakstabilan atau sebuah lagi Kerajaan (Persekutuan) yang tidak stabil…saya percaya tidak.

“Saya yakin rakyat tertekan daripada aspek kesihatan setelah (pandemik) COVID-19, krisis ekonomi, Kerajaan (Persekutuan) yang dipimpin oleh ‘pengkhianat’…adakah rakyat sanggup melalui sekali lagi ketidakstabilan Kerajaan.

“(Sehubungan itu,) kita (PH) perlu berjuang habis-habisan supaya rakyat yakin dengan agenda perjuangan kita,” tegasnya sambil merayu kepada pengundi lokal supaya memberi sokongan kepada calon PH bagi kawasan Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

MUHAMMAD Bakhtiar Wan Chik

Turut berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz, ADUN Pengkalan Kota, Danial Gooi Zi Sen, ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail dan bekas Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.