Piala TYT 2026, sembilan pasukan terbaik STL berentap di SPICE Arena

whatsapp image 2026 01 07 at 12.06.06

GEORGE TOWN – Sembilan pasukan terbaik daripada Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) bakal berentap bagi merebut kejuaraan dalam Kejohanan Sepak Takraw Piala TYT Yang Di-Pertua Negeri Pulau Pinang 2026 yang berlangsung mulai 6 hingga 11 Januari ini.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kejohanan yang akan diadakan di SPICE Arena itu turut menampilkan pasukan jemputan khas, Mutiara Trimbun Waris, yang diberi keistimewaan oleh Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang (PESENANG) selaku penganjur.

Kejohanan ini menawarkan ganjaran yang lumayan dengan juara bakal membawa pulang wang tunai berjumlah RM20,000, manakala naib juara akan menerima RM10,000.

“Bagi tempat ketiga dan keempat pula masing-masing akan menerima RM5,000 dan RM2,500,” katanya dalam Majlis Peluncuran Pasukan Sepak Takraw Negeri Pulau Pinang di Intan Glass Hall pada 4 Januari lalu.

whatsapp image 2026 01 07 at 12.06.05
ZAIRIL Khir Johari ketika berucap pada majlis berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Presiden PESENANG, Datuk Seri Ahmad Ismail; Timbalan Presiden PESENANG, Datuk Abdul Jalil Ariffin serta Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua.

Dalam majlis yang sama, Zairil turut mengimbau sumbangan besar Allahyarham Tan Sri Dato’ Mohd. Khir Johari dalam memartabatkan sukan warisan tersebut.

Menurut beliau, legasi yang ditinggalkan melalui Piala Emas Khir Johari (PEKJ) sejak 1962 yang diiktiraf sebagai kejohanan sepak takraw tertua di dunia, telah meletakkan asas yang kukuh buat pembangunan bakat negara.

whatsapp image 2026 01 07 at 12.06.06 (1)
ZAIRIL Khir Johari.

Mengulas mengenai pembangunan pada peringkat akar umbi, beliau memaklumkan bahawa Pejabat KADUN Tanjong Bunga telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM5,700 kepada Kelab Sukan dan Rekreasi Asas Abadi untuk pembelian peralatan sukan bagi memperkasakan aktiviti latihan.

“Kita juga melihat minat yang mendalam daripada komuniti setempat melalui penganjuran Kejohanan Sepak Takraw Berpasukan Tertutup Piala Tanjung Tokong 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya pada November lalu,” tambahnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

Selain itu, katanya, terdapat perancangan untuk menambah sebuah lagi gelanggang sepak takraw di Straits Green bagi menyokong aktiviti latihan, termasuk kelas latihan percuma buat remaja bawah 16 tahun yang dikendalikan oleh Coach Zamri pada setiap hari Sabtu.

Cadangan pembangunan gelanggang baharu tersebut kini berada pada peringkat perbincangan bersama dengan pihak agensi berkaitan,” katanya.

Difahamkan, kejohanan yang dianjurkan oleh PESENANG dengan kerjasama Persekutuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) itu bakal menyaksikan penglibatan pasukan-pasukan gergasi seperti Pulau Pinang, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Selangor, Kuala Lumpur, Perak, Kelantan, Negeri Sembilan dan Melaka.