PIHEX 2026 perkukuh Pulau Pinang sebagai hab industri halal

Admin
phex

PERAI – Pulau Pinang terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara peneraju industri halal negara apabila berjaya merealisasikan pelbagai inisiatif strategik yang merangsang pembangunan ekosistem halal, sekali gus mengangkat negeri ini sebagai hab industri halal yang berdaya saing pada peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, penganjuran Penang International Halal Expo 2026 (PIHEX) bukan sekadar platform mempromosikan produk halal, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan usahawan Bumiputera serta memperkukuh ekosistem industri halal di Pulau Pinang.

whatsapp image 2026 07 27 at 09.05.17
DR. Mohamad Abdul Hamid ketika berucap pada Majlis Perasmian PIHEX dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) Program Madani Kita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan alu-aluan pada Majlis Perasmian PIHEX dan Himpunan Usahawan Bumiputera Pulau Pinang (HUBPP) Program Madani Kita yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim di Politeknik Seberang Perai, di sini pada 25 Julai 2026.

Hadir sama, Menteri Komunikasi, Dato’ Seri Fahmi Fadzil; Pengerusi Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang, Tan Sri Khalid Ramli; Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Seri Zulkifli Long serta barisan kepimpinan negeri lain.

whatsapp image 2026 07 27 at 09.05.17 (3)

Dalam pada itu, Mohamad berkata bahawa PIHEX 2026 memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan Bumiputera tempatan dalam mempercepat pertumbuhan industri halal melalui pembangunan hab halal Pulau Pinang.

“Transformasi penganjuran PIHEX kali ini turut membuka ruang kepada penyertaan usahawan tempatan dan antarabangsa, jabatan serta agensi kerajaan dan institusi kewangan bagi menyemarakkan lagi industri halal di negeri ini,” ujarnya.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri melalui Majlis Pembangunan Industri Halal Pulau Pinang (MPIHPP) memainkan peranan penting dalam memperkukuh ekosistem halal secara menyeluruh menerusi pembangunan infrastruktur, peningkatan pensijilan halal, galakan pelaburan asing serta pemerkasaan usahawan Bumiputera bagi menembusi pasaran global.

Beliau yang juga Pengerusi MPIHPP turut menjelaskan bahawa Penang Halal International (PHI) terus menjadi agensi peneraju dalam mempromosikan ekosistem perniagaan halal negeri selain bekerjasama rapat dengan Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bagi memudahkan urusan pensijilan halal JAKIM.

pm

Dalam pada itu, Mohamad memaklumkan bahawa sejak tahun 2024 lagi, Kerajaan Negeri telah berjaya merealisasikan tiga Pelan Tindakan Teras Pembangunan Sosioekonomi berkaitan industri halal, antaranya penubuhan MPIHPP, integrasi agensi Islam serta pelaksanaan Program Khas Pensijilan Halal Malaysia kepada usahawan industri kotej Pulau Pinang.

Beliau turut memaklumkan bahawa Pulau Pinang kini mempunyai tiga Penyedia Latihan Halal (PLH) yang diiktiraf JAKIM iaitu Kolej Islam Teknologi Antarabangsa (KITAB), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Politeknik Seberang Perai.

Selain itu, tambahnya lagi, tiga kawasan perindustrian halal negeri turut memperoleh akreditasi HALMAS, melibatkan Penang Science ParkPenang Science Park (North) dan PERDA Food Park dengan keluasan keseluruhan hampir 198.62 ekar, selain menempatkan 14 syarikat multinasional sebagai pemegang aktif Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Mengulas perkembangan pensijilan halal, beliau memberitahu bahawa Pulau Pinang merekodkan peningkatan jumlah pemegang SPHM setiap tahun iaitu 1,098 pada tahun 2024, meningkat kepada 1,191 (2025), manakala sehingga 14 Julai 2026, sebanyak 853 pemegang sijil telah direkodkan membabitkan 220 syarikat Bumiputera (25 peratus) dan 633 syarikat bukan Bumiputera (75 peratus).

Berdasarkan rekod pencapaian SPHM di JAKIM sepanjang tahun 2025, Pulau Pinang berada pada kedudukan ketiga di Malaysia selepas Selangor dan Johor dari aspek permohonan serta pemegang SPHM.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri bersama Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan industri halal sebagai platform pembangunan sosioekonomi masyarakat,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Agama Islam, Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Koperasi.

Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas kesudian merasmikan PIHEX 2026 serta berterima kasih kepada semua kementerian, jabatan, agensi dan rakan strategik yang menjayakan penganjuran ekspo tersebut.

Katanya, kerjasama erat semua pihak diyakini mampu memperkukuh agenda pembangunan industri halal negeri selaras dengan Visi Penang2030 dan gagasan Malaysia MADANI.

whatsapp image 2026 07 27 at 09.05.18 (1) whatsapp image 2026 07 27 at 09.05.18 whatsapp image 2026 07 27 at 09.05.17 (2) whatsapp image 2026 07 27 at 09.05.17 (1)
Gambar : PEJABAT EXCO & PHI