GEORGE TOWN – Pemulihan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) termasuk pemilihan Datuk Bandar berada di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri kerana ia memerlukan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 1976 pada peringkat Persekutuan, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
Beliau berkata, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang secara konsisten memperjuang pemulihan pilihan raya pada peringkat PBT, termasuk membangkitkan usul berkaitan di Dewan Undangan Negeri (DUN) serta membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan bagi tujuan semakan kehakiman sebelum ini.
Di bawah bidang kuasa negeri, kita (Kerajaan Negeri) telah melakukan segala ikhtiar yang ada, termasuk membawa perkara ini ke Mahkamah Persekutuan, namun jelas bahawa pemulihan pemilihan ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya undang-undang berkaitan dipinda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu tersebut pada sidang media di Komtar tengah hari tadi.
Menurut Kon Yeow, langkah wajib untuk memulihkan pilihan raya pada peringkat PBT adalah dengan meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 bagi membolehkan pelantikan ahli majlis dibuat melalui pilihan raya, berbanding kaedah pelantikan yang diamalkan ketika ini.
Beliau menjelaskan bahawa meskipun perkara berkenaan pernah diusulkan pada persidangan DUN, ia bukan sekadar melibatkan pindaan enakmen negeri, sebaliknya tertakluk sepenuhnya kepada undang-undang Persekutuan serta dasar semasa.
Di bawah Akta Kerajaan Tempatan, negeri hanya diberi kuasa untuk melantik ahli majlis dan kuasa itu adalah satu bentuk desentralisasi, namun ia tidak merangkumi kuasa untuk mengadakan pemilihan secara langsung,” katanya.
Tambah Kon Yeow, pihak berkuasa negeri boleh membuat pelantikan Ahli Majlis, tetapi tidak boleh melaksanakannya melalui pilihan raya tanpa pindaan klausa berkaitan dalam akta berkenaan.
“Kita telah melalui semua halangan yang ada, dan tidak boleh melangkaui bidang kuasa Persekutuan,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Mengulas mengenai struktur pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), termasuk isu pemilihan Datuk Bandar DBKL yang kini dibahaskan di Parlimen, beliau berkata bahawa perkara itu melibatkan akta Persekutuan yang berbeza dan berada sepenuhnya di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan.
Sehubungan itu, beliau menyatakan bahawa sebarang usaha untuk melaksanakan pemilihan Datuk Bandar atau pilihan raya PBT perlu dibuat melalui pindaan perundangan di Parlimen.
Sementara itu, memetik laporan Berita RTM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memaklumkan bahawa kajian kebolehlaksanaan bagi melaksanakan pilihan raya PBT sedang dijalankan susulan pembentangan Rang Undang-Undang Persendirian oleh seorang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat sebelum ini.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : ALISSALA THIAN