GEORGE TOWN – Segala permohonan pindah milik gerai milikan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) boleh dilakukan secara dalam talian (‘online’) melalui laman sesawang rasmi https://ulesen.mbpp.gov.my/.
Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Soo Siang berkata, permohonan tersebut tidak perlu dilakukan melalui ‘orang tengah’ atau mana-mana individu yang mengenakan cas tidak sepatutnya.
“Semua permohon pemindahan milik bagi gerai-gerai penjaja termasuk pasar, astaka dan lain-lain boleh dimohon melalui laman sesawang rasmi dengan bayaran fi sebanyak RM50 sahaja.
“Selain itu, tukar jenis perniagaan, tambah barang perniagaan atau tukar tapak premis dalam kawasan sama pun dikenakan bayaran sama.
“Kebanyakan penjaja tidak mengetahui perkara ini dan membuat bayaran tambahan kepada ‘runner’ (atau ‘orang tengah’) dengan kos yang tidak sepatutnya hingga mencecah RM1,000,” ujarnya dalam satu sidang media di Komtar pagi tadi.
Tambahnya lagi, keputusan pemindahan juga akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis setiap bulan tanpa menunggu lama.
“Hanya permohonan pemindahan tukar milik melibatkan pasangan, ibu bapa dan adik beradik kandung sahaja dibenarkan,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, Soo Siang memaklumkan bahawa permohonan bagi Permit Sementara Bermusim Perayaan Kew Ong Ya dan Deepavali Tahun 2025 akan dibuka mulai esok (28 Ogos 2025).
“Segala syarat-syarat dan bayaran berkaitan juga boleh dilakukan melalui laman sesawang sama iaitu di https://ulesen.mbpp.gov.my/ .
“Para peniaga digalakkan untuk mengamalkan transaksi tanpa tunai, bawa bekas makanan sendiri dan bawa beg sendiri,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : JOANNE FOONG