PIP ambil kira ‘suara’ warga Seberang Perai

GEORGE TOWN – Rancangan Pelan Induk Pengangkutan Awam Pulau Pinang (PIP) yang kini dalam proses mendapatkan kelulusan berwajib daripada agensi Pusat, perlu juga mendapatkan maklum balas awam daripada penduduk Seberang Perai di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, suara penduduk Seberang Perai Pulau Pinang adalah penting kerana Kerajaan Negeri dalam merancang pelan bagi menangani kesesakan trafik pada masa hadapan yang juga membabitkan kawasan berkaitan.

“Jadi ‘suara’ mereka (penduduk Seberang Perai) juga penting dan dialu-alukan untuk menyatakan pandangan berhubung pelaksanaan PIP ini.

“Sekiranya mereka (penduduk Seberang Perai) menolak dan tidak bersetuju, maka, PIP tidak akan dilaksanakan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bagan selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Krismas di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di sini pada 20 Disember 2015.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy serta Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut berucap pada majlis berkaitan.

Difahamkan, Kerajaan Negeri baru-baru ini memberi kelulusan berwajib kepada Konsortium SRS, selepas rakan penyampai projek (PDP) tersebut membentangkan skim pengangkutan awam atas landasan dan skim pemajuan lebuh raya secara bersepadu, yang meliputi bahagian pulau dan bahagian Seberang Perai.

Kelulusan itu membolehkan PDP memulakan rundingan serta mendapatkan kelulusan PIP berwajib daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Kerajaan Pusat.

Skim pengangkutan awam atas landasan (railway scheme) terdiri oleh satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorail di bahagian pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Skim tersebut juga terdiri oleh satu lagi jajaran monorel serta mewujudkan sistem bas transit rapid (BRT) di Seberang Perai.

Satu lagi skim adalah mengenai pemajuan beberapa jajaran lebuh raya secara bersepadu (highway scheme) di bahagian pulau ke Seberang Perai, demi menangani kesesakan trafik kenderaan pada waktu puncak.

Manakala, island link pula adalah satu lagi projek yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri, sama seperti jajaran LRT Komtar – Bayan Lepas.