Penang Science Cafe di KADUN Batu Maung, cadang ADUN

BATU MAUNG – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim mencadangkan supaya Kafe Sains Pulau Pinang atau Penang Science Cafe turut diwujudkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) beliau.

Katanya, Kafe Sains Pulau Pinang yang merupakan pusat sehenti sains adalah demi menyalurkan tenaga bakat Pulau Pinang ke seluruh negeri dan secara tidak langsung membangunkan komuniti sains yang akan membantu mencorakkan masa depan Pulau Pinang.

“Justeru, cadangan akan saya hantar dalam tempoh masa terdekat dan diharap ianya akan diluluskan demi kepentingan pelajar-pelajar di kawasan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Kelengkapan Persekolahan DUN Batu Maung di sini baru-baru ini.

Pada majlis berkaitan, seramai 553 pelajar dari 10 sekolah sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung menerima sumbangan berkaitan.

Selain peruntukan beliau, sumbangan tersebut juga daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP). Sebelum ini, Penang Science Cafe @ Krystal Point ditubuhkan atas usaha bersama syarikat elektronik terkemuka, Agilent Technologies dan Kerajaan Negeri melalui Penang Science Cluster.

Lanjutan itu, turut ditubuhkan Creative Animation Trigger (@CAT) di Wisma Yap Chor Ee (WYCE) sebagai mencerminkan usaha Kerajaan Negeri dalam mempromosikan bidang sains, teknologi dan animasi kelompok kreatif di negeri ini.