PITE promosikan Pulau Pinang sebagai destinasi unggul acara perniagaan, riadah

GEORGE TOWN –  Penang Convention and Exhibition Bureau (PCEB) dan Apollo Conferences bakal menganjurkan acara Penang International Travel Exchange (PITE) buat tahun kedua berturut-turut.

 

Exco Pelancongan, Seni, Budaya dan Warisan Pulau Pinang, Yeoh Soon Hin berkata, penganjuran PITE tahun lalu berjaya mendapat sambutan yang menggalakkan meskipun pertama kali dianjurkan.

 

“PITE merupakan acara perlancongan yang memberi fokus untuk mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan unggul bagi acara perniagaan dan riadah di rantau Asia Pasifik.

 

“Meskipun tahun lalu PITE hanya memfokuskan pasaran di India, kita (Pulau Pinang) berjaya mempromosikan diri (negeri) melalui agensi pelancongan di sana, yang mana ada dalam kalangan mereka tidak pernah tahu tentang Pulau Pinang.

 

“Maka, tahun ini, saya difahamkan bahawa PCEB akan melebarluaskan nama Pulau Pinang ke 11 negara antaranya Amerika Syarikat, Timur Tengah, Azerbaijan, Myanmar, Kemboja, Thailand, Singapura, Vietnam, Indonesia, China dan Filipina,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Komtar tadi.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PCEB, G. Ashwin; Pengerusi Malaysian Association of Hotels (MAH) Penang Chapter, Khoo Boo Lim; Pengarah Urusan, Apollo Conferences, Presanth Chandra serta wakil-wakil penganjur bersama.

 

YEOH Soon Hin.

Menurut Soon Hin, penganjuran kali ini akan melibatkan 80 entiti yang terdiri daripada ejen pelancongan, media, pembuat keputusan untuk syarikat-syarikat pelancongan serta agensi korporat.

 

“Penganjuran kali ini juga tepat pada masanya apabila kita akan turut mempromosikan Penang2020 : Be Unfiltered dan Experience Penang Year 2020 ‘ The Diversity of Asia’ kepada entiti yang terlibat.

 

“Selain itu, antara yang mencuri tumpuan pada penganjuran kali ini adalah sesi padanan perniagaan atau B2B session, lawatan tapak ke lokasi pilihan pelancongan dan acara Penang Amazing Race yang bakal membawa mereka menerokai keunikan, sejarah dan keenakan masakan Pulau Pinang dengan elemen keseronokan serta santai.

 

BARISAN penganjur yang mengambil bahagian dalam penganjuran Penang International Travel Exchange (PITE) 2019 merakamkan kenangan sejurus sidang media di Komtar.

“(Dan) pastinya melalui penganjuran ini, Kerajaan Negeri amat komited untuk merancakkan lagi sektor pelancongan negeri dan terus menyajikan kebanggaan warisan, budaya dan sejarah rakyat Pulau Pinang di mata dunia,” jelasnya.

 

Bakal berlangsung pada 9 – 12 Oktober 2019, penganjuran PITE kali ini turut mendapat kerjasama daripada Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang, The Habitat, Tropical Spice Garden, The TOP dan Rapid Ferry.

 

PCEB adalah biro yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bagi memudah cara dan membangunkan acara perniagaan membabitkan mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) di Pulau Pinang. Manakala Apollo Conferences merupakan organisasi pengelola profesional persidangan (PCO) tempatan.

 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALVIE CHENG