PM dan menteri berkaitan digesa beri perhatian serius terhadap peningkatan kes COVID-19

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menggesa Perdana Menteri baharu dan menteri-menteri berkaitan supaya memberikan perhatian serius terhadap negeri-negeri yang mencatatkan peningkatan ketara kes COVID-19 sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, langkah segera perlu diambil di negeri-negeri terlibat sama ada dengan mempercepatkan lagi program vaksinasi atau meningkatkan kemudahan kesihatan awam bagi menampung peningkatan jumlah kes.

Ketua Menteri menerima sumbangan peralata perubatan dan perubatan daripada tiga syarikat swasta untuk diserahkan kepada Kompleks Masyarakat Penyayang.

“Perkara-perkara inilah yang menjadi perhatian kita (Kerajaan Negeri) sekarang kerana kita tidak boleh lagi menunggu lebih lama.

“Justeru, adalah diharapkan agar Perdana Menteri dan menteri-menteri kabinet yang baharu dapat bertindak segera bagi mengawal keadaan ketika ini,” katanya kepada Buletin Mutiara selepas menerima sumbangan peralatan perubahan daripada Penang Foundry & Engineering Industries Association (PENFEIA) dekat Komtar di sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Alam Sekitar dan Kebajikan, Phee Boon Poh; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin; Pengarah Eksekutif Sky Resources Sdn. Bhd., William Tan Chiew Chun; Pengurus Besar MKT Marketing Sdn. Bhd., Datuk Seri Dr. Ooi Eng Hock serta Pengerusi PENFEIA, Datuk Richard Teh.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut menyampaikan penghargaan kepada syarikat berkaitan yang telah menyumbang melalui platform PgCare Alliance kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) untuk digunakan oleh pesakit-pesakit COVID-19.

Datuk Seri Dr. Ooi Eng Hock.

Sementara itu, Eng Hock yang juga penasihat PENFEIA memberitahu bahawa sumbangan pelbagai peralatan tersebut adalah sebagai tanda penghargaan kepada pasukan barisan hadapan yang sedang bertungkus-lumus melawan pandemik COVID-19.

“Oleh itu, saya menyeru agar lebih banyak syarikat korporat dan para pemegang taruh untuk tampil memberikan sokongan kepada Kerajaan Negeri melalui platform ini (PgCare Alliance) demi manfaat rakyat di negeri ini.

“Selain itu, saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat di negeri ini agar segera mendaftarkan diri untuk mendapatkan vaksinasi sebagai jalan keluar daripada krisis pandemik ini,” ulasnya.

Difahamkan, sumbangan peralatan perubatan dan bukan perubatan bernilai RM100,260 itu akan diserahkan kepada Kompleks Masyarakat Penyayang yang kini dijadikan sebagai Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Antara peralatan yang disumbangkan adalah Vital Sign Monitor (1); ECG (2); Emergency Cart (1); Syringe Pump (8); Medication Cart NMC (2); kipas industri (20) dan kerusi roda (20).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD