Kaji keperluan laksana saringan massa PSC19 2.0

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan meneliti dan mengkaji keperluan untuk melaksanakan pusingan kedua saringan massa melalui Program Saring COVID-19 (PSC19).

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, pihaknya akan mengkaji keperluan tersebut berikutan terdapat permintaan daripada beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini.

 

“Dalam mesyuarat Exco pada 25 Ogos lalu, Ketua Menteri telah mencadangkan supaya meneliti dan mengkaji keperluan untuk meneruskan atau tidak program saringan massa tersebut,” ujarnya pada sidang media yang diadakan secara langsung menerusi Facebook pada pagi ini.

 

Turut serta, ADUN Komtar, Teh Lai Heng; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya MBPP, Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali serta wakil daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM).

 

Menurut Jagdeep, PSC19 yang dilancarkan pada 5 Julai 2021 telah selesai pada 22 Ogos selepas ‘menjelajah’ kesemua 40 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) di negeri ini.

 

“Program tersebut telah selesai dan kini kita (Kerajaan Negeri) akan melihat sama ada untuk meneruskannya atau tidak memandangkan semalam (26 Ogos) merupakan kali kedua Pulau Pinang mencatatkan jumlah kes melebihi angka 2,000,” katanya.

 

Tambahnya lagi, selain inisiatif mengadakan saringan massa, penguatkuasaan terhadap ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP)  juga penting.

 

Kerajaan Negeri tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan lebih tegas sekiranya terdapat sebarang ketidakpatuhan SOP.

 

“Kita tidak mahu hanya kerana seorang individu yang tidak mematuhi SOP menjangkiti 10 individu lain.

 

“Kita tidak mahu wabak ini terus merebak dan tidak boleh pandang ringan, maka tindakan lebih tegas akan diambil oleh penguat kuasa di negeri ini,” jelasnya.

 

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat, menyeru kepada semua rakyat Pulau Pinang supaya mendaftar diri sebagai penerima vaksin.

 

“Bagi mencapai imuniti kelompok sekurang-kurangnya 1.34 juta orang perlu divaksinkan dan setakat semalam (26 Ogos) seramai 1.31 juta telah berdaftar yang mana 1.1 juta telah menerima suntikan vaksin dos pertama.

 

“Manakala bagi dos kedua, seramai 711,454 individu telah selesai atau 52 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di negeri ini.

 

Jadi, sekali lagi saya ulangi, silalah daftar segera kerana ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita sebagai rakyat.

 

“Kita tidak mahu dedahkan ahli keluarga kita atau orang sekeliling kita dijangkiti (COVID-19),” katanya yang berharap untuk menerima lebih banyak bekalan vaksin daripada pihak berkaitan.

 

Sebagai rekod, semalam Pulau Pinang mencatatkan jumlah kes sebanyak 2,078 manakala bagi keseluruhan kes baru dalam negara adalah sebanyak 24,599 – paling tinggi pernah dicatatkan.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : CHAN KOK KUAN