PM mungkir janji beri BR1M RM1,200 – KM

PERAI – Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak wajar dinaikkan dari RM650 kepada RM950 memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) lepas telahpun berjanji untuk menaikkan bantuan sumbangan tersebut kepada RM1,200.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya berkata, pembentangan Bajet 2015 di Dewan Rakyat baru-baru ini sekaligus menyerlahkan amalan Kerajaan Pusat memungkiri janji, serta mengkhianati harapan rakyat.

“Dia (Kerajaan Pusat) patut naik BR1M kepada RM1,200 seperti yang dia janjikan…ini (Bajet 2015) bukti dia sudah mungkir janji dan bohong rakyat Malaysia,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bagan pada Majlis Jamuan Makan Malam Analisis Bajet 2015 di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. Dr. P. Ramasamy, Steven Sim Chee Keong (Ahli Parlimen Bukit Mertajam), P. Kasthuriraani (Ahli Parlimen Batu Kawan), Ng Wei Aik (Ahli Parlimen Tanjung), Tony Pua Kiam Wee (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara) dan Nga Kor Ming (Ahli Parlimen Taiping) turut hadir sebagai penganalisis pada majlis itu.

Majlis jamuan makan malam tersebut disertai lebih 1,500 hadirin terdiri daripada kalangan Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) dan sebagainya.

Terdahulu, Najib menjelang pilihan raya umum lepas berjanji untuk menaikkan BR1M kepada RM1,200 sekiranya terus diberi mandat oleh rakyat.

Bagaimanapun, Najib dalam satu kenyataan kepada Bernama pada 8 Februari lepas berdalih bahawa proses agihan BR1M dinaikkan dari semasa ke semasa dalam tempoh lima tahun sehingga mencapai RM1,200.