PMW syor pickleball sebagai sukan keluarga

Admin
d7cbac2d cfc0 456b 9b35 6aadb66c10b4 TAN Lean Kee (depan, tiga dari kanan) merakamkan gambar dengan sekalian peserta program "Paddle Up Together, Keluarga Hebat" di PickleSky dekat pusat membeli belah Sunshine Central, Air Itam pada 30 November 2025.

AIR ITAM – Pertubuhan Wanita Mutiara (PWM) bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Chulia hari ini menganjurkan program “Paddle Up Together, Keluarga Hebat” di PickleSky berhampiran pusat membeli-belah Sunshine Central.

5f4394b9 deac 477d a2e8 163ccd121af1
TAN Lean Kee

Dalam ucapannya, isteri kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi Pertubuhan Wanita Mutiara, YABhg. Puan Tan Lean Kee, berharap inisiatif bersama itu menambah makna kepada sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan (NBKK) 2025 yang julung kali dilancarkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui agensi pelaksana utama, iaitu Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), baru-baru ini.

“Keluarga adalah tempat anak belajar penerimaan, rasa kekitaan, rasa hormat terhadap diri sendiri, orang lain, autoriti dan keselamatan.

“Apabila institusi keluarga kukuh dan berkembang maju, masyarakat akan berfungsi,” katanya pada majlis yang berlangsung di pusat komuniti dan kemudahan sukan pickleball tersebut di sini, pada 30 November 2025.

38de268d d2af 4d94 a145 656a53d255cf
WONG Chiew Lee

Sementara itu, Pengerusi MPKK Lebuh Chulia, Wong Chiew Lee, turut merakamkan penghargaan kepada Pertubuhan Wanita Mutiara atas komitmen berterusan dalam penganjuran program pengukuhan institusi kekeluargaan di peringkat komuniti setempat.

Beliau juga bersetuju dengan pandangan bahawa pickleball merupakan aktiviti sukan yang semakin popular serta sangat sesuai untuk seisi keluarga meluangkan masa berkualiti bersama.

Pada majlis sama, Timbalan Presiden Persatuan Kesihatan Mental Pulau Pinang, Datuk Dr. Lai Fong Hwa, turut mengendalikan sesi advokasi kekeluargaan, termasuk berkongsi kaedah mencegah anasir pornografi dalam talian melibatkan kanak-kanak dan remaja di rumah.

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengarah Pusat Khidmat Rakyat KADUN Padang Kota, Ewe Chee Way; serta tenaga pengajar merangkap pemberi bantuan kecemasan berkaitan kesihatan mental, Datin Dranee Liew, yang bersama-sama menyokong usaha memperkasa komuniti setempat.

Difahamkan, KPWKM melalui LPPKN baru-baru ini melancarkan NBKK bagi mencapai beberapa tujuan berikut:

i. Memperkukuh ikatan kekeluargaan melalui masa berkualiti, komunikasi berkesan, dan pengukuhan hubungan kasih sayang antara ahli keluarga.

ii. Meningkatkan kesedaran masyarakat tentang peranan kritikal institusi keluarga dalam pembangunan sosial dan mental individu.

iii. PMemperkasa kesejahteraan keluarga dengan menyediakan platform dan modul latihan bagi meningkatkan kemahiran keibubapaan, komunikasi dan daya tahan emosi.

iv. Menggalakkan penglibatan pelbagai sektor termasuk agensi kerajaan, pihak swasta dan komuniti untuk menjadikan Hari Keluarga sebagai acara tahunan wajib.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar: MUHAMMAD IQBAL HAMDAN