Polis Bantuan MPSP sama seperti anggota PDRM, mesti jaga imej kepolisan, kata Timbalan Ketua Polis Negeri

Admin

SEBERANG JAYA – Polis Bantuan bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang memakai seragam mempunyai tanggungjawab tinggi untuk menjaga imej kepolisan, sebagaimana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) lain.

Timbalan Ketua Polis Negeri, Datuk Roslee Chik berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pemakaian Pangkat Pegawai dan Anggota Polis Bantuan MPSP di perkarangan lobi Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat sini pada 15 Mac 2019.

“Imej kemas adalah budaya yang sangat dituntut kepada semua anggota polis bantuan, sama seperti anggota polis lain juga.

“Jaga disiplin, mesti mempunyai hemah yang tinggi, jauhi penyelewengan kuasa dan amalan rasuah agar imej polis senantiasa disegani oleh masyarakat,” jelasnya pada majlis berkaitan.

Sebelum itu, Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud merakamkan penghargaan kepada PDRM kerana menyokong usaha penjenamaan semula Pasukan Polis Bantuan MPSP di bawah Pelan Strategik MPSP 2018-2022.

“Usaha pada hari ini sekaligus meningkatkan imej dengan memperkemaskan penampilan anggota polis bantuan.

“Kenaikan pangkat adalah salah satu perancangan dalam memastikan kelancaran dan mutu kerja yang terbaik Pasukan Polis Bantuan,” ujarnya.

Dalam Majlis Istiadat Pemakaian Pangkat Pegawai dan Anggota Polis Bantuan MPSP yang julung kali dilaksanakan pagi tadi adalah melibatkan 14 penerima.

Mereka, Amirul Ariff Abdul Rahman sebagai Penolong Penguasa Polis memakai pangkat Asisten Supritendan (ASP), diikuti Soleh Musa (Inspektor), Norlia Arifin (Sarjan Major), Nor Azira Hussain (Sarjan), Dzulkifli Sapar (Sarjan), Khairul Hafizon Mohd. Nor (Sarjan), Mohammad Zubir Harun (Sarjan), Abu Talib Zainal Abidin (Koperal), Hassan Hashim (Koperal), Ahmad Sukri Saad (Koperal), Mohd. Harfizy Mohd. Noor (Koperal), Abu Hassan Hashim (Lans Koperal), Asri Salim (Lans Koperal) dan Mohd. Sholihin Othman.

Difahamkan, Pasukan Polis Bantuan MPSP ditubuhkan pada 11 Julai 2001 dengan bilangan keanggotaan seramai 30 orang yang terdiri daripada seorang Inspektor, Sarjan (1), Koperal (2) dan Konstabel (26).

Penubuhan Pasukan Polis Bantuan MPSP antara lain bertujuan mengawal keselamatan di Mahkamah Majistret (Munisipal) MPSP, melaksanakan saman, sapina, waran, perintah memenjara dan proses-proses lain yang dikeluarkan dengan sah oleh mana-mana pihak berkuasa kompiten.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri, Datuk Mohamad Anil Shah Abdullah; Setiausaha Perbandaran, Ir. Rosnani Mahmod dan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Nik Ros Azhar Jik Abdul Hamid antara tetamu kehormat utama pada majlis istiadat tersebut.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS