27 premis nasi kandar terima pengiktirafan Sijil Bersih, Selamat dan Sihat KKM

Admin
DR. Afif Bahardin (dua dari kiri) menyampaikan Sijil BeSS kepada salah seorang pemilik premis nasi kandar pada majlis ringkas yang berlangsung semalam.

BATU UBAN – Sebanyak 27 restoran nasi kandar seluruh Pulau Pinang menerima Sijil Pengiktirafan Premis Outlet Makanan Bersih, Selamat dan Sihat (BeSS) Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung di Bukit Jambul semalam.

Ketika berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memuji para pengusaha restoran nasi kandar tersebut yang komited menjaga kualiti kebersihan dan keselamatan makanan dengan memperolehi markah skor lebih daripada 86 peratus.

“Melalui BeSS yang diperkenalkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), ianya satu satu inisiatif baik bagi mengiktiraf premis makanan yang bersih serta menjadi hasrat rakyat Malaysia amnya.

“Adalah diharapkan pengusaha premis makanan ini kelak terus mengekalkan dan meningkatkan tahap kebersihan premis makanan masing-masing bagi memastikan tahap makanan yang selamat dihidangkan kepada pelanggan,” ujar beliau dalam satu majlis ringkas semalam.

Turut hadir, Exco Perdagangan Antarabangsa  & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah dan Timbalan JKN Pulau Pinang, Ku Nafisah Ku Ariffin.

Difahamkan, sejak tahun 2016 hingga 2018 menyaksikan sebanyak 534 premis makanan telah memperolehi sijik BeSS.

Afif memberitahu, pengiktirafan tertinggi tersebut diharap turut menjadi pemangkin kepada pengusaha-pengusaha premis lain untuk mempertingkatlan tahap kebersihan seterusnya menjaga nama baik Pulau Pinang sebagai lokasi pelancongan yang mendapat jolokan syurga makanan.

Sementara itu, Wan Mansor dalam ucapannya berkata melalui kriteria BeSS, ianya mampu mengurangkan risiko pencemaran makanan serta memberi maklumat cara pemakanan sihat dalam membendung gejala penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

“Melalui satu kajian pada 2015, 18 peratus dari kalangan orang dewasa di Malaysia mengalami masalah diabetis dan 30 peratus lagi mengalami darah tinggi di mana kedua-dua penyakit ini gerbang kepada dari obesiti.

“Sementara itu bagi berlebihan berat badan, Pulau Pinang mencatatkan 37 peratus mengalami masalah tersebut (18 tahun keatas) dan 27 peratus obesiti.

“Dan sekiranya tidak dibendung, di masa hadapan Pulau Pinang boleh menjadi sebuah ‘negeri gemuk’,” tegasnya.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI