Portal penang2030.com platform sehenti maklumat wawasan pembangunan masa depan Negeri

Admin
KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Selari dengan pelancaran portal penang2030.com, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap pelaksanaan fasa dua visi pembangunan jangka masa panjang Pulau Pinang sehingga tahun 2030 itu kian dipercepatkan bagi meningkatkan kualiti hidup sekalian rakyat di negeri ini.

Berlangsung di ibu pejabat badan pemikir Kerajaan Negeri, Penang Institute pada tengah hari tadi, Kon Yeow memberitahu bahawa pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak tahun 2020 sedikit sebanyak memberi ruang kepada Kerajaan Negeri sendiri untuk mempercepatkan proses pendigitalan perkhidmatan berkaitan dan pada masa sama terus berusaha mencapai tema Penang2030 iaitu Negeri Hijau dan Pintar Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

“Selepas berakhirnya wabak itu, keperluan untuk penglibatan awam adalah lebih kuat berbanding sebelum ini, dengan negara mempersiapkan dirinya untuk dorongan pendigitalan ke masa depan.

“Fasa 2 Pulau Pinang2030 sebagai strategi melengkapkan pelan pemulihan COVID-19 negeri, dan mempercepatkan Visi Penang2030.

“Masa depan digital adalah masa depan kita semua,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam acara yang dianjurkan secara hibrid di sini pada 5 November 2021.

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa fasa 2 Penang2030 mengandungi tiga set inisiatif penting iaitu ‘Placemaking Initiative’, Inisiatif Pembinaan Komuniti dan Inisiatif Bersama-sama Industi.

“Placemaking Initiative ialah menyerlahkan kawasan tertentu di negeri yang mana pembangunan dinamik secara khusus akan dilakukan… buat masa ini adalah seperti Creative Digital District atau CDSquare sekitar Gat Lebuh China, Lebuh Pantai, Middle Bank Marine Sanctuary dan Gurney Wharf… maklumat terperinci terdapat dalam portal (penang2030.com).

“Inisiatif Pembinaan Komuniti pula adalah membawa agensi serta perwakilan terpilih untuk bersama-sama secara aktif mempromosi serta mengkordinasi sukarelawan di negeri ini untuk bertemu dengan pelbagai populasi penduduk.

“Inisiatif Bersama-sama Industri adalah memberi tumpuan kepada usaha tiga pihak antara kerajaan, masyarakat sivil dan sektor swasta bagi membina lebih baik ekosistem sektor pembuatan di Pulau Pinang; meluaskan pangkalan pelabur negeri serta bersedia untuk keperluan digital pada masa hadapan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sehubungan itu, beliau berharap pelancaran fasa 2 Visi Penang2030 serentak dengan peluncuran portal penang2030.com akan berfungsi sebagai platform sehenti untuk semua pihak bagi mendapatkan maklumat berkaitan wawasan pembangunan masa depan negeri ini.

Pada bulan Ogos 2018, Kon Yeow melancarkan Visi Penang2030 dengan harapan dapat melibatkan pelbagai pihak bagi bersama-sama memajukan negeri ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS