Potongan 50% untuk warga Pulau Pinang melancong tempat terpilih 15 Mac hingga 15 Mei – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Penduduk Pulau Pinang boleh menikmati potongan harga 50 peratus untuk tempat-tempat pelancongan terpilih di negeri ini, mulai 15 Mac hingga 15 Mei 2020.

Mengulas lanjut, Exco Pelancongan, Seni & Budaya dan Warisan, Yeoh Soon Hin berkata pakej rangsangan yang dilancarkan oleh Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) tersebut demi merancakkan lagi sektor pelancongan negeri supaya selari dengan matlamat Experience Penang 2020 dan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Senarai tempat terpilih, menurut beliau, sebagaimana dalam laman web http://experiencepenang.my/en-MY/activity.

“Tawaran menarik di tempat-tempat daya tarikan pelancong ini diberikan kepada seluruh warga Pulau Pinang selama dua bulan iaitu dari 15 Mac hingga 15 Mei dengan tujuan untuk merancakkan lagi sektor pelancongan domestik di Pulau Pinang khususnya,” jelasnya kepada pemberita di TheTOP@Komtar di sini pada 6 Mac 2020.

Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong memberitahu bahawa Kerajaan Negeri ketika ini turut berusaha melebarkan kempen insentif ini, termasuk di Kuala Lumpur pada 12 Mac ini.

Beliau memberitahu sejumlah 24 buah hotel dan wakil dari Penang Wedding Professionals Association (PWPA) akan turut serta dalam jelajah yang bertempat di Pullman Kuala Lumpur City Centre Hotel & Residences, nanti.

“Pada jelajah ini, para pengunjung akan didedahkan dengan lokasi-lokasi pelancongan di Pulau Pinang yang masih belum diterokai dan diketahui umum kerana negeri ini hakikatnya mempunyai nilai tambahan tersendiri daripada yang sering diperkatakan.

“Lokasi seperti The Habitat, Escape dan The Top yang sering menjadi daya tarikan pelancong ini turut tidak terkecuali untuk diketengahkan pada jelajah itu,” beritahu beliau di hadapan wakil hotel, pengusaha kawasan menarik serta Pengarah Pengurusan The Habitat, Allen Tan.

Selain itu, Soon Hin memberitahu bahawa kempen periklanan akan dilancarkan dengan melibatkan aktiviti berjalan kaki (covered walkways) pada sebelah pagi di sepanjang Jalan Sultan Ismail dan Jalan Raja Chulan yang bertempat di hadapan Wisma Genting dan Wisma Cosway.

“Selama lebih 12 bulan, Experience Penang 2020 akan menampilkan aktiviti ini dengan tujuan untuk menarik pelancong domestik dan antarabangsa untuk melancong ke Pulau Pinang yang juga merupakan destinasi percutian popular.

“Selain itu, Kerajaan Negeri bakal mengambil bahagian dalam MATTA Fair yang bertempat di World Trade Centre (WTC), Kuala Lumpur pada 1 hingga 3 Mei ini bersama 16 buah hotel dan tarikan,” ujarnya lagi.

Beliau mengulangi komitmen bahawa Kerajaan Negeri bersama Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Pulau Pinang, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia (MCTA) Pulau Pinang, Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Pulau Pinang dan ATAP untuk memulihkan semula sektor pelancongan di Pulau Pinang.

Oleh: SITI FATIMAH HUZAIDI
Gambar: CHAN KOK KUAN