Operasi Establisymen Makanan di Farlim, tiga premis diarah tutup

Admin

GEORGE TOWN – Tiga premis kedai makanan diarahkan tutup oleh Bahagian Pelesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) hari ini ekoran penemuan najis tikus dan tikus hidup.

Menurut Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan MBPP, M. Bawani, arahan tersebut dikeluarkan setelah pegawai pemeriksa mendapati terdapat tikus dan najis haiwan perosak tersebut dalam satu Operasi Establisymen Makanan dekat Farlim pagi tadi.

“Jumlah premis yang telah kita periksa hari ini adalah tiga premis, dan ketiga-tiga premis tersebut telah dijalankan prosedur penutupan di bawah Seksyen 38 (1) Undang-Undang Kecil Establisymen Makanan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) 1991.

“Sebanyak 13 PTK (pemberitahuan Tentang Kesalahan) telah dikeluarkan, jumlah tersebut bersamaan dengan RM1,910.

“Antara kesalahan dikenalpasti untuk hari ini adalah wujudnya halangan di belakang kedai (atas jalan), tiada perangkap minyak, pencemaran silang dan pengendali makanan tidak mendapatkan suntikan anti typhoid,” ujar beliau dalam satu sidang media di Dewan Bandaraya, tengah hari ini.

Mengulas lanjut, Bawani memberitahu, bagi tahun 2020 pihaknya sudah menjalankan lima operasi melibatkan 20 buah premis.

“Daripada 20 premis itu, 15 premis diambil tindakan tutup, jumlah kompaun dikeluarkan adalah 32 bersamaan RM3,210.

“Kalau sejak November 2019, sebanyak 10 operasi telah dijalankan, 32 premis diperiksa, 28 ditutup, 50 kompaun dikeluarkan dan jumlah besarnya adalah RM5,060,” jelas Bawani lagi.

Tambah Bawani, operasi ini bukan sahaja untuk memberi kesedaran kepada pemilik kedai bahkan memberi kesedaran kepada orang ramai untuk memilih kedai yang bersih, berkualiti dan selamat untuk dimakan.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : LAW SUUN TING