Premis sewa basikal George Town bakal dilesenkan bermula 1 Julai

Admin

GEORGE TOWN – Setiap basikal disewakan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia George Town dapat dikenal pasti melalui plat basikal yang dilesenkan di bawah Lesen Perkhidmatan Penyewaan Basikal bermula 1 Julai ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ong Ah Teong berkata, MBPP melalui Mesyuarat Biasa Majlis (MBM) baru-baru ini memutuskan bahawa semua premis yang menjalankan aktiviti penyewaan basikal akan dilesenkan bermula 1 Julai 2017.

“Kita (MBPP) telah bersetuju melesenkan premis-premis penyewaan basikal di dalam George Town dengan kadar bayaran RM240 setahun untuk sebuah hingga 20 unit basikal yang disewakan dengan tambahan RM10 bagi setiap sebuah basikal.

“Basikal-basikal ini akan mempunyai plat nombornya sendiri seperti motosikal, dan dengan kaedah ini Majlis dapat mengenal pasti sama ada basikalbasikal tersebut beroperasi secara sah atau sebaliknya,” jelasnya pada sidang media selepas MBM MBPP di sini.

Menurut Ah Teong, garis panduan bagi melesenkan premis-premis tersebut secara tidak langsung akan menghentikan penggunaan dan aktiviti penyewaan basikal yang melebihi dua roda di atas jalan raya kini.

Katanya, pemberian lesen tersebut hanya melibatkan basikal dua roda sahaja, manakala tiga roda (beca) atau empat roda tidak dibenarkan sama sekali.

“Pengeluaran lesen akan berkuatkuasa mulai 1 Julai 2017.

“Sekiranya ingkar terhadap garis panduan yang ditetapkan, mengikut Undang-undang Kecil Tred Perniagaan dan Perindustrian MPPP 1991, kompaun sejumlah RM250 akan dikenakan atau pengusaha berdepan tindakan susulan daripada pihak mahkamah.

“Justeru, saya menggesa semua pengusaha supaya membuat permohonan segera melalui Bahagian Pelesenan MBPP sebelum tarikh penguatkuasaan dinyatakan,” ujar Ah Teong.