Prestasi pelancongan Pulau Pinang meningkat positif, atasi sebelum tempoh pandemik

Admin
760e392a 8ef9 4a07 9fbb a4b814a17436

GEORGE TOWN – Sektor pelancongan negeri Pulau Pinang terus mengorak langkah positif pasca pandemik COVID-19 apabila data terbaharu menunjukkan prestasi memberangsangkan.

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai sektor tersebut bukan sahaja pulih, malah telah mengatasi tahap yang pernah dicapai sebelum pandemik melanda.

“Berdasarkan data statistik yang diperoleh daripada Tourism Malaysia, jumlah pelancong yang menginap di hotel-hotel di seluruh negeri bagi tahun 2024 telah mencatatkan angka memberangsangkan sebanyak 8,237,072 orang.

“Angka ini menunjukkan peningkatan sebanyak 28.9 peratus berbanding rekod pada tahun 2019, iaitu 6,389,996 pelancong,” katanya semasa berucap dalam Sesi Penggulungan Exco sempena Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini pada 21 Mei 2025.

Sementara itu, lokasi ikonik dan mercu tanda pelancongan negeri, Bukit Bendera, turut mencatatkan prestasi cemerlang iaitu pada suku pertama tahun 2025

“Seramai 426,308 pengunjung telah direkodkan, sekali gus melebihi jumlah pelawat pada suku pertama tahun 2019, iaitu 421,027 pengunjung.

“Peningkatan ini bersamaan dengan 5,281 orang, iaitu bersamaan 1.3 peratus.

“Peningkatan ini jelas membuktikan daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa, hasil kerjasama padu antara Kerajaan Negeri, agensi pelancongan serta pemain industri yang terus komited memartabatkan sektor ini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

Oleh : NUR BATRISYIA IDRUS
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS