PADANG KOTA – Barangan kitar semula rekaan Unit Upcycle Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBSP) telah sampai hingga ke negara Turkiye.
Menurut Penyelia Unit Upcycle MBSP, Azizul Abdul Rahim perkara tersebut menjadi kenangan paling manis sepanjang 22 tahun berkhidmat dalam MBSP.

“Pada bulan Februari tahun lepas ketika pameran oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), isteri kepada Presiden Turkiye, Recep Tayyib Erdogan membawa pulang barangan upcycle MBSP.
“Barangan yang dibawa pulang ke Turkiye berupa kerusi tong dram, pasu tayar dan jam daripada tayar terpakai.
“Saya sangat berbangga kerana hasil rekaan Unit Upcycle MBSP dapat menarik minat pemimpin bertaraf dunia,” ujarnya ketika ditemui sejurus menerima Pingat Jasa Masyarakat (PJM) pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri Pulau Pinang 2026 Hari Ulang Tahun Ke-85 Yang Dipertua Negeri (TYT) Tun Ramli Ngah Talib dekat Dewan Sri Pinang di sini tengah hari tadi.
Tujuh lagi penerima PJM pada hari ini adalah Basri Haron; Shafizal Mahmud dan Mohd. Shamsol Shamsudin masing-masing adalah kakitangan MBSP.

Manakala penerima PJM bagi kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) pula ialah Asmadi Ishak; Mohamed Noor Ismail; Mohamed Rasull Sultan dan B. Pathmanathan.
Sementara Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye ketika bercakap kepada pemberita memberitahu, penganugerahan ini merupakan satu pengiktirafan yang amat tinggi terhadap jasa, pengorbanan dan dedikasi mereka dalam melaksanakan amanah yang dipertanggungjawabkan.
“Sesungguhnya, kejayaan sesebuah organisasi bukan sahaja bergantung kepada kepimpinan yang berwibawa, malah turut didukung oleh komitmen, kesungguhan dan semangat kerja berpasukan seluruh warga kerja di setiap peringkat.
“Pingat yang diterima pada hari ini bukan sekadar lambang penghormatan, malah merupakan pengiktirafan tertinggi terhadap nilai amanah, disiplin, kesetiaan, komitmen dan pengorbanan yang telah ditunjukkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sepanjang tempoh perkhidmatan,” jelas beliau.
Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran pula menyifatkan penghargaan Kerajaan Negeri melalui PJM kepada pekerja-pekerja 3D (dirty, dangerous and difficult) adalah sesuatu yang sangat wajar.
“Kita boleh lihat pengorbanan dan kerja keras mereka di lapangan setiap hari dalam menjadikan Pulau Pinang ini bersih dan selesa kepada masyarakat khususnya,” maklumnya kepada Buletin Mutiara.
Sementara itu, Asmadi, Mohamed Noor dan Mohamed Rasull ketika ditemui turut merakamkan ucapan terima kasih kerana menghargai jasa dan khidmat bakti mereka.
“Dalam tugas 3D ini memang sudah mencabar cuma kadang-kadang itu ada aduan yang tidak munasabah itu yang lebih sukar.
“Segala keringat dicurahkan untuk membersihkan kawasan tetapi ada segelintir yang buat aduan kononnya kami tidak buat kerja dan sebagainya, sedihlah bila jadi macam itu,” maklum Mohamed Rasull yang akan bersara kelak.
Asmadi dalam pada itu memberitahu beliau juga pernah dicemuh namun itu sikit pun tidak mematahkan semangat beliau untuk bertugas.
“Bahkan itu menjadi pemangkin dan pembakar semangat untuk bekerja dengan lebih gigih dalam memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.