TANJONG BUNGA – Program gotong-royong membersihkan pantai yang kini dijalankan secara tanggungjawab sosial korporat (CSR) oleh beberapa hotel terkemuka di negeri ini akan diperluaskan dalam skala yang lebih besar pada masa akan datang.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Shafiz Rahim Raja berkata, pihak sekolah dan universiti juga akan turut dilibatkan pada penganjuran seterusnya bagi memastikan keberkesanan program tersebut.
“Program ini sudah dianjurkan beberapa kali oleh pihak hotel tetapi pada hari ini dijalakan secara rasmi dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (Motac) Negeri Pulau Pinang.


“Inisiatif pihak hotel melalui CSR seperti ini sangat baik dan sudah semestinya kita daripada pihak MBPP akan memberikan sokongan sepenuhnya kerana aspek kebersihan mencerminkan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri hijau.
“Oleh itu, MBPP akan bekerjasama dengan pihak hotel untuk melaksanakan program seumpama ini memandangkan kebersihan pantai amat penting bagi menarik kehadiran pelancong,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Voluntourism: Pembersihan Pantai di Persisiran Pantai Tanjung Bungah di sini pagi tadi.
Program tersebut dianjurkan oleh Hotel Hompton dengan kerjasama Motac dan dua lagi hotel iaitu Sentral Seaview dan Mecure.
Turut hadir, Pengarah Motac Negeri Pulau Pinang, Dr. Annuar Mohamed; Pengurus Besar Hompton Hotel Penang Steven Suffian Phoong; Pengurus Besar Mecure Hotel Penang, Zosimo Jimeno dan Pengurus Besar Sentral Seaview Hotel Penang, Alex Gooi.
Dalam program tersebut, seramai kira-kira 50 peserta yang terdiri daripada para pengurusan tertinggi dan pekerja serta kakitangan ketiga-tiga hotel serta Pejabat Motac Pulau Pinang mengutip sampah-sarap di kawasan pantai bermula dari Hotel Mecure sehingga ke Hotel Hompton.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT