Program kebajikan negeri, Ketua Menteri beri jaminan tiada sesiapa tercicir

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow memberi jaminan bahawa tiada sesiapa pun akan tercicir dalam pemberian bantuan dan program-program kebajikan di bawah Kerajaan Negeri.

 

Menurut beliau, sejumlah RM412.63 juta dibelanjakan sejak tahun 2008 untuk program-program kebajikan negeri, i-Sejahtera yang merangkumi pemberian bantuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU), pelajar, ibu tunggal dan bayi baru lahir.

 

“Kerajaan Negeri akan memastikan segala program yang berteraskan kebajikan diteruskan demi manfaat 1.8 juta rakyat Pulau Pinang.

 

“(Dan) kini, di bawah pentadbiran sama dengan Kerajaan Persekutuan, berkemungkinan terdapat beberapa bantuan yang akan dikaji semula pemberiannya memandangkan berlaku pertindihan di peringkat Pusat.

“Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri memberi jaminan dan akan memastikan tiada sesiapa pun yang layak akan tercicir dalam pengagihan bantuan-bantuan berkaitan,” ucapnya pada Majlis Penyampaian Bantuan Hari Raya Aidilfitri dan Majlis Berbuka Puasa 2019 bersama-sama masyarakat setempat di Dewan UMA dekat sini tadi.

 

KETUA Menteri mengalu-alukan kehadiran Marzuki Yahya (berkemeja kotak) pada majlis berkaitan sebentar tadi.

 

Hadir sama, Timbalan Menteri Luar Negeri merangkap Pengerusi Badan Pimpinan Negeri Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pulau Pinang), Datuk Marzuki Yahya selaku tetamu kehormat pada majlis berkaitan.

 

 

Turut hadir, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Asri Seeni Mohamed; Presiden Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader; Pengarah Urusan Nasmir Holdings Sdn. Bhd., Datuk Kadarsha Abdul Razak; Penaung Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil, Mohamed Azmin Seeni Mohamed serta jawatankuasa pengelola majlis berkaitan.

 

Dalam pada itu, Kon Yeow turut meletakkan harapan agar penganjuran majlis kebajikan sebegitu menjadi ikutan kepada badan-badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk sama-sama memikul tanggungjawab menyantuni golongan yang memerlukan.

 

KETUA Menteri menyempurnakan penyampaian bantuan kepada salah seorang penerima.

“Sesungguhnya peranan dalam membantu golongan sasaran ini adalah amatlah dialu-alukan dan sebenarnya ia menjadi pelengkap terhadap usaha Kerajaan Negeri dalam melaksanakan dasar-dasar baru serta sedia ada kepada rakyat.

 

“Syabas dan tahniah kepada jawatankuasa pengelola atas penganjuran majlis ini yang juga meraikan hampir 100 individu kurang berkemampuan terdiri daripada OKU, ibu tunggal dan anak-anak yatim.

 

“Diharap dengan pemberian bantuan seperti ini dan penganjuran majlis sebegini mampu memberi sinar serta kegembiraan kepada mereka dalam persiapan berpuasa dan meraikan Aidilfitri,” katanya.

 

Ditubuhkan pada tahun 2017, Pertubuhan Kebajikan Warisan Lebuh Tamil adalah bagi menyemarakkan lagi aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan komuniti setempat.

 

ANTARA yang diraikan dalam majlis berkaitan.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI