Program Kebun Komuniti di Seberang Perai masuk Fasa Dua

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) bakal mempromosikan pertanian bandar dengan memfokuskan konsep berkebun di halaman rumah mulai tahun 2022.

 

Datuk Bandar MBSP. Dato’ Sr. Rozali Mohamud

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, ia adalah sejajar dengan matlamat Seberang Perai ke arah Resilien, Inklusif, Hijau, Kompetitif dan Bandar Pintar Dipacu oleh Teknologi.

 

“MBSP telah melaksanakan Program Kebun Komuniti di Seberang Perai dan telah memasuki Fasa Dua.

 

“Sehingga kini terdapat sebanyak 30 komuniti yang terlibat yang mana 11 komuniti di Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah (12) dan Seberang Perai Selatan (7),” ujarnya pada sesi sidang media sejurus Majlis Penyerahan Tong Kompos dan Penanaman Sayur Program Berkebun di Halaman Rumah 2021 Fasa Dua yang berlangsung di Menara Bandaraya MBSP pada 13 Disember 2021.

 

Hadir sama, Pengarah Urusan Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd., Carlos Cano dan barisan Ahli-Ahli Majlis MBSP.

 

Antara peserta yang berjaya dalam Program Kebun Komuniti.

Pada majlis sama, sejumlah 20 tong kompos tajaan Continental Automotive Components Malaysia Sdn.  Bhd. (Continental) diserahkan kepada 20 peserta yang berjaya menjalankan aktiviti berkebun di halaman rumah.

 

“Fasa Dua ini terdiri daripada 150 peserta yang mengambil bahagian dan 20 peserta menerima hadiah sebuah tong penanaman sayur serta kompos bernilai RM200.

 

“(Dan) melalui pemberian tong ini, peserta seterusnya akan diajar untuk menghasilkan kompos sendiri menggunakan sisa dapur masing-masing,” katanya.

 

Rozali juga berharap agar warga Seberang Perai dapat mempraktikkan aktiviti penanaman sayur di halaman rumah kerana ia memberi nilai tambah kepada penduduk seiring dengan tuntutan normal baharu kini.

 

“Matlamat akhir adalah mewujudkan komuniti rendah karbon menjelang tahun 2022 dan menjadi bandar neutral karbon pada tahun 2030 seterusnya bandar sifar karbon pada tahun 2050 nanti,” tegasnya.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD