Program kesihatan tarik peserta muda

Admin

SUNGAI DUA – Program Ayuh Sihat Bersama Kami anjuran Pejabat Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Sungai Dua berjaya menggamit kehadiran lebih 150 orang pengunjung yang terdiri daripada kanak-kanak, belia dan warga emas di sini baru-baru ini.

Mantan pegawainya, Zahadi Mohammad berkata, selain inisiatif Pejabat PPK Sungai Dua, program tersebut juga merupakan anjuran bersama Kumpulan Ameerah (pertubuhan bukan kerajaan, NGO) dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Pajak Song, Muslimat Kawasan Tasek Gelugor dan Pusat Kesihatan Daerah Kepala Batas.

“Pelbagai aktiviti yang dijalankan sepanjang program berlangsung antaranya, pemeriksaan tekanan darah, pemeriksaan kesihatan, pemeriksaan gigi dan pemeriksaan rahim.

“Selain itu, senaman aerobik, ceramah kesihatan ‘Kanser’, pertandingan kolaj dan cabutan bertuah turut diadakan bagi menarik minat dan keprihatinan semua golongan terhadap kesihatan,’’ katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.