GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menerusi Bahagian Kewarganegaraan Pulau Pinang terus komited membantu golongan tidak berwarganegara melalui Program Kewarganegaraan Pulau Pinang yang diperkenalkan sejak 2013.
Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata, setakat ini lebih 5,595 kes telah ditangani termasuk 3,504 permohonan kewarganegaraan dengan 569 kes berjaya memperoleh taraf warganegara.
Permohonan berjaya ini adalah di bawah Perkara 14 Perlembagaan Persekutuan merangkumi pendaftaran lewat sijil kelahiran, kad pengenalan, pengangkatan kanak-kanak bukan warganegara, permohonan naturalisasi baharu, pindaan maklumat sijil kelahiran dan Perkara 13 iaitu berkaitan anak luar nikah.
“Ramai yang lahir di Malaysia tetapi tidak memiliki kewarganegaraan akibat tiada sijil kelahiran, status ibu bapa yang rumit dan perkahwinan tidak berdaftar.
“Namun begitu, dengan adanya program sebegini maka sebahagian besar daripada mereka kini boleh meneruskan persekolahan, berkerja dan menikmati hak asasi masing-masing,” ujarnya pada sidang media di Pusat Transit Gelandangan di sini pada 7 September 2025.
Menurut Siew Khim, beliau turut menyuarakan saranan agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dapat mempergiat advokasi bagi mengelak lebih ramai menjadi mangsa.
“Kanak-kanak tidak berwarganegara bukan salah mereka dan pihak kerajaan tidak boleh membiarkan kelemahan sistem mahupun kekurangan maklumat merampas masa depan mereka,” katanya.
Jelas beliau lagi, kurangnya akses maklumat mengenai kewarganegaraan menjadi antara faktor berlakunya kelemahan tersebut.
“Saya ingin menasihatkan kepada ibu bapa agar mendapatkan bantuan terus menerusi program ini dan tidak bergantung kepada ejen atau pihak luar yang kononnya menawarkan khidmat urus kewarganegaraan.
Melalui Program Kewarganegaraan Pulau Pinang ini, tiada bayaran dikenakan dan kita menyediakan khidmat serta bantuan percuma dalam penyediakan dokumen serta koordinasi dengan jabatan berkaitan.
“Setelah pindaan Perlembagaan Persekutuan diluluskan, ramai kanak-kanak tanpa warganegara akhirnya mendapat peluang untuk menghantar permohonan semula,” katanya lagi.
Dalam pada itu, warga emas berusia 83 tahun, Chan Weng Poh ketika ditemui pemberita menzahirkan kelegaan dan rasa syukur apabila penantian selama hampir tujuh dekad berakhir setelah permohonan memiliki kewarganegaraan diluluskan.
Beliau memberitahu bahawa dia tiba di Tanah Melayu beberapa bulan sebelum negara mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 yang mana ketika itu, dia berusia 15 tahun.
“Sebelum ini, saya merupakan pemegang status pemastautin tetap dan memohon kewarganegaraan kira-kira 10 tahun lepas.
“Saya sudah anggap Malaysia sebagai rumah saya sejak dulu lagi kerana di sini saya membesar, berkahwin dan mempunyai anak.
“(Dan) jika tanya, mana lebih saya sayang, sudah pasti saya jawab Malaysia kerana di China sangat susah ketika itu dan saya telah kerja macam-macam pekerjaan sejak sampai di negara ini.
“Saya juga belajar bergaul dan berbahasa Melayu serta mengenali budaya serta makanan di sini.
“Hari ini sangat bermakna kerana selepas 69 tahun, saya akhirnya menjadi rakyat Malaysia,” katanya yang telah berkahwin dengan wanita warga tempatan dan dikurniakan dua cahaya mata.
Seorang lagi penerima taraf kewarganegaraan, Teoh Zheng Yang, 13, yang hadir bersama-sama bapanya, Teoh Kwat Ching, 66.
Kwat Ching, memberitahu bahawa anaknya merupakan kanak-kanak istimewa Sindrom Down.
“Anak saya tidak mempunyai kewarganegaraan yang sah kerana ibunya yang berasal dari Indonesia tidak pernah memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan telah pulang ke negara asal akibat perselisihan faham.
“Saya kemudiannya berkahwin dengan orang tempatan dan mempunyai empat anak termasuk Zheng Yang yang mana pada masa yang sama, saya mula memohon untuk mendapatkan surat beranak setelah Zheng Yang tidak dapat mendaftar ke sekolah
“(Dan) dengan adanya status kewarganegaraan ini, anak saya kini boleh mendapatkan kad Orang Kurang Upaya (OKU) yang amat penting bagi memohon sebarang bantuan serta kemudahan sewajarnya,” katanya.
Difahamkan, seramai 14 individu berjaya memperoleh taraf kewarganegaraan dan menerima kad pengenalan biru pada hari tersebut.
Maklumat lanjut mengenai Program Kewarganegaraan Pulau Pinang, sila hubungi Bahagian Kewarganegaraan Pulau Pinang talian 04-650 5105.