Program Mutiara Food Bank beri manfaat kepada keluarga B40 di KADUN Air Itam

AIR ITAM – Pelancaran program Mutiara Food Bank di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam diharap dapat memanfaatkan golongan keluarga B40 di sini.

Ahli Dewan Undangan Negerinya (ADUN), Joseph Ng Soon Siang berkata, program yang akan dijalankan setiap hari Rabu bermula jam 3 petang tersebut sedikit sebanyak meringankan beban golongan berkaitan melalui pemberian makanan seperti sayur-sayuran dan juga roti.

“Sepatutnya, program ini dijalankan pada minggu pertama dan ketiga sahaja setiap bulan, namun kini ia dapat diadakan setiap minggu (Rabu) dengan adanya kerjasama daripada pihak Sunshine Group Farlim yang sanggup serta setia untuk membekalkan bekalan makan kepada penduduk terlibat.

“Saya berasa gembira kerana pra-program Mutiara Food Bank yang dijalankan dua bulan sebelum ini akhirnya menjadi realiti dengan memberikan keperluan makanan harian kepada golongan tersebut,” ucapnya semasa majlis pelancaran program berkaitan di Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Melayu, semalam.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; Pengarah Urusan Suiwah Corporation Bhd., Dato’ Thean Long Hwang; Timbalan Pegawai Operasi Mutiara Food Bank, Muhammad Shameer dan Pengerusi MPKK Kampung Melayu, Abdul Aziz Buhari.

Mengulas lanjut, Joseph memberitahu bahawa program tersebut adalah selaras dengan Visi Penang2030 yang memberi penekanan terhadap pembangunan keluarga.

“Apabila setiap ahli keluarga mempunyai makanan yang mencukupi, mereka akan bekerja dengan lebih bersemangat dan dapat memupuk sebuah keluarga yang harmoni,” katanya lagi.

Sementara itu, Ramkarpal ketika berucap memuji usaha murni tersebut yang ternyata memberi manfaat kepada penduduk di kawasan Kampung Melayu.

“Program ini adalah suatu idea yang bagus kerana lebihan makanan yang diberikan itu merupakan makanan yang masih boleh digunakan serta dapat memberikan manfaat dan kebaikan kepada penduduk kawasan ini.

“Saya juga berasa bangga untuk memaklumkan bahawa ini bukan kali pertama, program Food Bank dijalankan kerana program yang sama telah dianjurkan di kawasan Taman Tun Sardon dan juga di Bukit Gelugor pada bulan Mac lalu,” ujarnya sambil mengharapkan program tersebut berjalan lancar.

Oleh: SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN
Gambar: ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI