BERTAM – Belia lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau institusi kemahiran di negeri ini yang sedang mencari pekerjaan diseru memanfaatkan program pembangunan kemahiran yang disediakan oleh Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii).
Eksekutif Kanan MARii, Amirullah Abdul Hadi berkata program tersebut dibangunkan dengan tujuan meningkatkan mobilisasi tenaga kerja mahir tempatan dan memastikan penyertaan belia secara optimum melalui penempatan pekerjaan yang lebih sistematik.
Beliau berkata, program yang ditawarkan secara percuma itu turut dijalankan dengan kerjasama Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang (BPPBPP).

“Terdapat dua program yang ditawarkan melalui inisiatif ini iaitu Penang Industry LED Professional Certificate (PIPC) bagi lepasan SPM dan Penang Technician Accelerator Development Programme (PTD) bagi pemegang diploma.
“Setiap permohonan akan melalui proses pemilihan untuk memastikan hanya mereka yang memenuhi syarat kemasukan sahaja dipilih untuk menjalani kursus selama 25 hari bertempat di Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Bertam.
“Kursus yang ditawarkan ini adalah secara percuma selain kemudahan tempat tinggal, kelengkapan serta makan minum turut ditaja sepenuhnya oleh pihak MARii dan yang paling penting adalah mereka dijamin peluang pekerjaan sejurus tamat latihan.
“Malah, mereka juga akan menerima elaun sebanyak RM500 selepas berjaya menamatkan latihan di sini,” katanya.
Amirullah berkata, kursus pembangunan kemahiran mengandungi beberapa modul berkaitan industri automotif dengan penekanan kepada kenderaan elektrik serta proses pengilangan.
“Mereka akan menjalani modul kemahiran insaniah (soft-skill) selama 10 hari yang merangkumi kemahiran komunikasi, penampilan profesional, penyediaan resume, keselamatan, temuduga berkesan, disiplin diri, etika sosial profesional, pengurusan masa serta kewangan.
“Pada hari ke-10 kita akan tampilkan pihak Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk memberikan penerangan berkaitan profil kerjaya.
“Baki 15 hari seterusnya, peserta akan melangkah ke modul kenderaan elektrik serta teknikal,” jelasnya.
Di negeri Pulau Pinang, ZOHL Group of Companies merupakan syarikat yang telah dilantik oleh pihak MARii untuk menjalankan program tersebut termasuk melakukan padanan kerja untuk para peserta sebelum mereka menamatkan latihan.

Pengarah Urusannya, Ts. Dr. Zulkifli Hassan ketika ditemui memberitahu bahawa masih terdapat 42 kekosongan bagi kursus PIPC dan lapan (PTD) untuk ditawarkan kepada belia Pulau Pinang yang berminat menyertai program tersebut.
“Ini merupakan pengambilan kedua untuk tahun ini yang mana kursus akan bermula pada 17 November ini tetapi sekiranya dalam tempoh selepas itu masih ada yang kekosongan, maka kita akan lanjutkan tarikh pendaftaran selama tujuh hari lagi iaitu sehingga 24 November 2025.
“Kursus ini sebenarnya khas untuk belia yang menetap di Pulau Pinang sahaja tetapi sekiranya mereka yang tinggal di negeri berdekatan turut berminat boleh mendaftar menggunakan alamat saudara mara yang tinggal di negeri ini.
“Pihak kami juga menjalankan kerjasama dengan beberapa pihak berkaitan seperti Penang CAT Centre, wakil pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kolej Vokasional serta Perkeso melalui MYFutureJobs untuk urusan penempatan pekerjaan.
Dalam pada itu, Buletin Mutiara berkesempatan menemu bual beberapa peserta yang sedang menjalani latihan dan telah berjaya mendapat tawaran pekerjaan daripada syarikat-syarikat industri yang berkaitan.

SITI SYAHMINA SHA’ARI, 26 tahun dari Balik Pulau yang mengambil akan menamatkan kursus PIPC berkata bahawa dia kini telah menerima tawaran untuk bekerja di syarikat Kobelco di Bayan Lepas.
“Program ini sangat bagus untuk mereka yang sedang mencari pekerjaan kerana menawarkan kursus secara percuma termasuk tempat tinggal, kelengkapan dan makan minum.
“Selain itu, kursus yang ditawarkan juga sangat relevan dengan perkambangan teknologi masa kini sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada belia untuk mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan latihan,” katanya.

MUHAMMAD AMMAR ALIF RAMLI, 20, dari Bukit Mertajam yang menjalani kursus PTD telah menerima tawaran pekerjaan daripada syarikat berkaitan automotif, Inocom Corporation Sdn. Bhd.
Muhammad Ammar Alif sebelum ini telah menamatkan pengajian diploma di Kolej Vokasional Balik Pulau dan memilih untuk meneruskan latihan di bawah program MARii demi meningkatkan lagi tahap profesional diri.
“Selepas menyertai program ini, saya menjadi lebih berkeyakinan terutamanya dalam aspek komunikasi dan mendapat banyak pengetahuan dalam bidang yang saya minati iaitu automotif terutamanya berkaitan kenderaan elektrik.
“Paling penting adalah peluang pekerjaan terjamin dan sekarang saya hanya perlu fokus untuk menamatkan latihan sebelum boleh memulakan pekerjaan di Inocom.
“Nasihat saya kepada belia yang masih mencari pekerjaan, sertailah program ini kerana kursus ini ditawarkan secara percuma dengan modul-modul yang sangat diperlukan di alam pekerjaan nanti,” ujarnya.

MUHAMMAD IKMAL AZZHAR, 22, yang mempunyai diploma dalam bidang pengurusan di Taj International College, Ipoh telah menerima empat tawaran perkerjaan termasuk dari J&T Express Malaysia, Kobelco dan MR.DIY.
“Saya memilih program ini kerana menyediakan kursus berkaitan tatacara kerja korporat yang sangat diperlukan dalam bidang pengurusan dari asas sehingga profesional.
“Dengan menyertai program ini, saya dapat merasakan perubahan kerana saya seorang yang introvert sebelum ini tetapi kini boleh berkomunikasi secara berkesan.
“Oleh itu, saya menyeru kepada belia yang masih mencari peluang pekerja supaya mwnyertai program ini kerana kursus yang ditawarkan mudah difahami selain memenuhi keperluan semasa pihak industri,” katanya.
Sebarang pertanyaan lanjut berkaitan program boleh hubungi talian 03-6279 9276 atau 019-386 2400 (Dr. Zulkifli Hassan).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS