GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama beberapa agensi negeri memperkenalkan Program Intervensi Penyelenggaraan Infrastruktur Air (PRIHATIN).
Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) merupakan agensi yang terlibat.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata program berteraskan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) itu melibatkan peruntukan sebanyak RM4 juta yang disumbangkan oleh PBAPP.

“Melalui program ini, setiap agensi memainkan peranan mengikut bidang kuasa dan kepakaran masing-masing bagi memastikan setiap isu berkaitan infrastruktur air dapat ditangani dengan lebih sistematik, cepat dan berkesan.
“Skop kerja di bawah Program PRIHATIN merangkumi pelbagai bentuk pembaikan infrastruktur air, antaranya termasuk pembaikan dan penggantian tangki air serta paip sedia ada di samping kerja-kerja penyelenggaraan lain yang berkaitan.
“Bagi skop kerja yang melibatkan pembinaan baharu seperti pemasangan tangki air sedutan atau pembinaan rumah pam, kebolehlaksanaan adalah tertakluk kepada hasil pemeriksaan teknikal serta kelulusan rasmi daripada PBT,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.
Hadir sama, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Ketua Pegawai Kewangan PBAPP, Dr. Marry Ann Haris; Pengarah Pesuruhjaya Bangunan MBPP, Nurul Azian Mohd. Nordin; Ketua Pegawai Bisnes LPNPP, Fakhurrazi Ibnu Omar; Ketua Pegawai Penguatkuasa LPNPP, Nadzifah Abd. Rahim serta wakil-wakil jabatan Kerajaan Negeri.
Zairil berkata, pojek-projek yang akan dilaksanakan di bawah Program PRIHATIN ini akan dipilih berdasarkan kriteria pemilihan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negeri.
“Setiap projek yang dijalankan mestilah di skim perumahan kos rendah awam atau swasta yang terdiri daripada unit kediaman berharga RM100,000 dan ke bawah.
“Pelaksanaan setiap projek adalah dihadkan kepada jumlah maksimum RM200,000 tertakluk kepada keperluan sebenar dan skop kerja yang diluluskan.
“Selain itu, skim perumahan perlu mempunyai Badan Pengurusan Bersama (MB) atau Perbadanan Pengurusan (MC) yang aktif dan berdaftar selaras dengan keperluan Akta Pengurusan Strata 2013 [Akta 757].
“Bagi skim perumahan yang tidak mempunyai JMB atau MC, kelulusan akan diberikan dengan syarat di mana skim perumahan tersebut perlu menubuhkan JMB atau MC dengan bantuan Jabatan Pesuruhjaya Bangunan PBT dalam tempoh tiga bulan,” jelasnya lagi.
Tambah Zairil, setiap permohonan projek di bawah Program PRIHATIN akan melalui proses semakan yang teliti bagi memastikan kelancaran pelaksanaannya.
“Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan terlebih dahulu boleh mengemukakan permohonan kepada PBAPP bagi tujuan pengesahan wujudnya masalah infrastruktur air di skim perumahan berkenaan.
“Setelah pengesahan diperoleh, agensi pelaksana yang berkaitan iaitu LPNPP atau PBT akan mengambil langkah seterusnya dengan mengadakan lawatan tapak mengikut kawasan masing-masing.
“Seterusnya, proses perolehan akan dijalankan mengikut tatacara perolehan agensi pelaksana selaras dengan peraturan kewangan yang berkuat kuasa,” katanya yang juga ADUN Tanjong Bunga.
Zairil berkata, bagi permohonan melibatkan pembinaan atau penambahan infrastruktur baharu, agensi pelaksana perlu menyediakan pelan teknikal yang lengkap terlebih dahulu dan mengemukakannya kepada PBAPP untuk tujuan semakan dan kelulusan.
“Selepas proses perolehan selesai, agensi pelaksana akan mengemukakan permohonan penyaluran peruntukan kepada Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT), Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang (PSUKPP) berdasarkan kos sebenar projek yang telah dijalankan.
“Dengan pelaksanaan yang sistematik sebegini, setiap projek di bawah Program PRIHATIN dapat dijalankan secara telus dan berkesan, sekali gus memberi manfaat segera kepada penduduk di skim perumahan yang terlibat,” jelasnya lagi.
Mengulas lanjut, Zairil memaklumkan bahwa fasa pertama pelaksanaan program tersebut adalah melibatkan lima skim perumahan awam kos rendah.
“Skim perumahan terlibat adalah Rumah Pangsa Desa Permai Indah, Rumah Pangsa Desa Pantai Indah dan Rumah Pangsa Green Garden bagi kawasan Daerah Timur Laut; Rumah Pangsa Taman Bagan (Seberang Perai Utara) serta Rumah Pangsa Desa Wangsa (Daerah Barat Daya).
“Kami menjangkakan sebanyak 20 skim perumahan atau lebih akan mendapat manfaat daripada program ini,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI