Program publisiti dan penyertaan awam RSNPP 2020 terima 6,633 maklum balas

GEORGE TOWN – Program publisiti dan penyertaan awam bagi Laporan Tinjauan Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang (RSNPP) 2020 yang diadakan semenjak dua bulan lalu menarik sejumlah 6,633 maklum balas dan 23 pandangan bertulis.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata, daripada jumlah 6,633 tersebut, 2,906 maklum balas diterima melalui laman sesawang, program taklimat (364) dan pengunjung di tiga lokasi pameran iaitu Komtar, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) mencatatkan 3,363.

“Manakala sehingga 31 Januari lalu, pandangan bertulis yang diterima adalah berjumlah 23,” katanya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Pulau Pinang, Abd. Talip Abd. Rahim.

Menurut Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, hasil maklum balas tersebut adalah selepas tempoh yang telah tamat pada 31 Januari lalu iaitu selepas melalui lanjutan selama dua bulan mulai 1 Disember 2016.

“Kerajaan Negeri pada November lalu telah melanjutkan masa selama dua bulan atau 62 hari (1 Disember 2016 sehingga 31 Januari 2017) bagi membolehkan semua pihak termasuk orang awam, pemaju, badan-badan bukan kerajaan (NGO), pertubuhan dan persatuan seluruh Pulau Pinang terlibat sama untuk memberi maklum balas di dalam perancangan RSNPP 2020 ini.

“Mengikut peruntukan Seksyen 9 (3) Akta Perancangan Bandar dan Desa, sepatutnya segala pandangan dan proses bantahan perlulah dibuat tidak kurang daripada tempoh sebulan dari tarikh pertama notis di dalam surat khabar.

“Oleh itu, mesyuarat Exco yang diadakan pada 25 Januari lalu telah membuat keputusan bahawa tidak akan melanjutkan lagi tempoh tersebut sepertimana yang diminta oleh beberapa NGO baru-baru ini,” jelasnya.

Bagaimanapun, menurut Jagdeep, mereka (NGO) masih boleh berbuat demikian mengikut Seksyen 11B (3) Akta Perancangan Bandar dan Desa iaitu pada peringkat berikutnya, semakan Rancangan Struktur Negeri.

“Peringkat ini adalah lebih kritikal yang mana pihak-pihak berkaitan boleh mengemukakan pandangan masing-masing kerana ia merupakan penghubung kepada Draf Rancangan Struktur Negeri sebelum dimuktamadkan,” ujarnya.