P. Pinang 9 tahun berturut-turut paling awal hantar penyata kewangan tahunan

GEORGE TOWN – Sembilan tahun berturut-turut, Pulau Pinang direkodkan sebagai Kerajaan Negeri paling awal menghantar laporan serta penyata tahunan kewangan kepada Kerajaan Pusat.

Ketika mengumumkan perkara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus memuji kecekapan Jabatan Kewangan Negeri (JKN), yang baginya melonjakkan lagi imej Pulau Pinang di Malaysia.

“Pulau Pinang merupakan Kerajaan Negeri paling awal untuk sembilan tahun berturut-turut yang mengemukakan Penyata Kewangan di Malaysia,” ucapnya dalam Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Negeri Pulau Pinang Bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Menurut Farizan, Jabatan Kewangan Negeri serta Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) masing-masing direkodkan menerima Sijil Bersih Ketua Audit Negara bagi Penyata Kewangan Tahun 2015, yang mana JKN adalah merupakan negeri terawal yang mengemukakan Penyata Kewangan di Malaysia.

Dalam perkembangan lain, Farizan memberitahu, sebanyak 39 kes tatatertib melibatkan jabatan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang tahun lalu direkodkan.

“Kes-kes yang dilaporkan ini adalah melibatkan kes tidak hadir bertugas iaitu sebanyak 22 kes, mengemukakan cuti sakit palsu (3) dan lain-lain kes (14).

“Seramai 25 orang telahpun dikenakan tindakan buang kerja, manakala, bakinya dikenakan tindakan turun gaji, amaran dan denda.

“Walaupun jumlah ini adalah rendah berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak 55 kes dilaporkan, saya mengharapkan agar tiada kes tatatertib yang dilaporkan terhadap anggota perkhidmatan awam negeri pada masa akan datang,” ujarnya sambil mengarahkan semua ketua jabatan memainkan peranan masing-masing.