Projek blok wanita dan kanak-kanak HPP jangka siap menjelang 2027

Admin
screenshot

GEORGE TOWN – Projek pembinaan Blok Wanita dan Kanak-Kanak di Hospital Pulau Pinang (HPP) dijangka siap sepenuhnya pada 19 Januari 2027, setelah mengambil kira lanjutan masa (EOT 3) yang telah diluluskan.

Exco Belia dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen berkata demikian dalam sesi Soalan Lisan sebagai respons kepada perkara yang dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti, Zulkefli Bakar.

“Kelulusan lanjutan masa tersebut diberikan susulan penambahan keluasan lantai kasar (GFA) hasil sesi Room Data Interaction (RDI) bersama dengan pihak pengguna bagi memenuhi keperluan pengoperasian terkini serta pematuhan kepada standard kesihatan semasa.

“Projek ini memerlukan penyesuaian reka bentuk untuk menampung keperluan semasa perkhidmatan kesihatan.

“Justeru, penambahan GFA adalah penting bagi memastikan fasiliti baharu ini mampu beroperasi dengan standard tertinggi,” jelasnya lanjut.

Zi Sen yang juga ADUN Padang Lalang turut memaklumkan bahawa walaupun berlaku lanjutan masa, kerja-kerja pembinaan kini berjalan lancar dan mengikut jadual yang ditetapkan.

“Agensi pelaksana sentiasa melakukan pemantauan rapi bagi memastikan projek berkenaan disiapkan sepenuhnya mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” ujarnya.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & LAW SUUN TING