Projek Jalan Pintasan Ayer Itam–Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu capai 93 peratus, jangka siap April 2027

Admin
fc2b49ab df52 43d0 8d87 6901028c9f21 GAMBAR kenangan seusai majlis melawat tapak projek berkenaan di sini menjelang tengah hari tadi.

GEORGE TOWN — Projek pembinaan jalan pintasan bernilai RM851 juta yang menghubungkan Bandar Ayer Itam berhampiran Farlim ke Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu (Pakej 2) kini berada pada fasa akhir apabila mencatatkan kemajuan fizikal sebanyak 93.19 peratus setakat 30 September lalu.

0e799887 d4ec 4d64 832d 57f9e95b2cd3
KETUA Menteri

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan keyakinan bahawa laluan sepanjang 5.7 kilometer (km) itu dapat disiapkan sepenuhnya menjelang April 2027 sebelum dibuka kepada orang ramai sebaik sahaja menerima kelulusan teknikal daripada pihak berkuasa berkaitan.

“Saya yakin bahawa projek ini dapat disiapkan pada April 2027, sebelum dibuka kepada orang awam setelah mendapat kelulusan teknikal daripada pihak berwajib,” katanya selepas mengadakan lawatan ke tapak projek berkenaan di sini sebentar tadi.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong, Wong Hon Wai; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr. Jafri Abdul Jalil dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Zairi Mat Ali.

Lawatan tapak itu turut disertai ADUN Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng; ADUN Air Itam, Joseph Ng Soon Siang; Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation Sdn. Bhd. (PICSB), Dato’ Seri Farizan Darus dan Pengarah Urusan Consortium Zenith Construction Sdn. Bhd. (CZCSB), Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen.

0fda6ea1 d65f 4255 a42b 8f322f0f70a4 9a29102f ed7c 468c 9173 249b8ade2e79Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi memaklumkan bahawa kerja-kerja pembinaan bagi satu-satunya seksyen di luar jajaran utama, iaitu penambahbaikan pusingan U di bawah Jambatan Pulau Pinang kini telah dimulakan selepas mendapat kelulusan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

Setakat ini, beliau berkata kemajuan di seksyen berkenaan mencatatkan 18.56 peratus berikutan selesainya kerja-kerja pengambilan tanah.

“Kemungkinan pusingan U ini mungkin tidak dapat dibuka serentak dengan Pakej 2 ini tetapi kita (Pihak Berkuasa Negeri) berharap projek ini dapat disempurnakan dalam sedikit masa lagi,” jelasnya.

Buletin Mutiara diberitahu, projek jalan pintas yang berada di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) itu dijangka bakal mengurangkan kesesakan lalu lintas secara signifikan di kawasan Bandar Ayer Itam dan Farlim.

Dalam pada itu, Kon Yeow menegaskan bahawa pelaksanaan Pakej 2 tersebut dibiayai sepenuhnya oleh kontraktor dilantik, CZCSB, tanpa melibatkan sebarang suntikan dana daripada Kerajaan Negeri.

Menurutnya, pelaksanaan projek diteruskan mengikut pelan asal menggunakan kaedah pertukaran tanah (land swap) di bawah pemantauan rapi Kerajaan Negeri.

“Kerajaan sedia memindahkan hak milik tanah di Gurney Bay kepada pihak Zenith (CZCSB) atau pembeli (tanah milik) mereka kerana (CZCSB selaku) kontraktor membiayai sendiri kos projek tersebut.

“Walaupun pembidaan tanah baru-baru ini tidak berjaya, perjalanan fizikal projek tidak terjejas dan syarikat (CZCSB) bebas menentukan strategi penjualan atau pemilikan tanah berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan CZCSB, Tan Sri Dr. Khor Eng Chuen mengesahkan bahawa baki kira-kira RM50 juta yang diperlukan untuk menyiapkan projek Pakej 2 tersebut masih mampu ditanggung sepenuhnya oleh pihak syarikat tanpa memerlukan sokongan kewangan daripada Kerajaan Negeri.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMMAD IQBAL HAMDAN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT