GEORGE TOWN – Tarikh siap baharu bagi Projek Jalan Pintasan Pakej 2: Air Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu kini diunjurkan pada 12 April 2027, selepas mengambil kira dua kelulusan Lanjutan Masa (EOT) yang diberikan mengikut syarat kontrak.
Penang Infrastructure Corporation (PIC) dalam satu kenyataan hari ini menyatakan bahawa pelaksanaan projek berkenaan telah mencapai 87 peratus kemajuan setakat ini.
Menurut PIC, sebarang permohonan EOT hanya dipertimbangkan sekiranya kontraktor membuktikan kelayakan berdasarkan kehendak kontrak, iaitu apabila punca kelewatan disokong fakta dan bukti teknikal yang sah serta selaras dengan peruntukan kontrak.
PIC menjelaskan bahawa kedua-dua EOT tersebut telah melalui proses semakan terperinci oleh Jawatankuasa Lanjutan Masa, selain dimaklumkan dalam mesyuarat tapak serta dibentangkan secara rasmi oleh Ketua Eksekutif PIC dalam Mesyuarat Lembaga Pengarah pada 29 Julai 2025.
Kelewatan memulakan kerja di tapak berlaku akibat proses pengambilan balik tanah (PBT) di beberapa laluan utama yang belum selesai mengikut jadual asal.
“Lanjutan ini diberikan di bawah Klausa 49.1(g) kontrak, iaitu kelewatan dalam pemberian pemilikan tapak (possession of site) yang mana tarikh siap baharu selepas EOT 1 ditetapkan pada 31 Oktober 2026,” sebagai memetic kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, kelewatan berlaku susulan penerimaan Kebenaran Memulakan Kerja (KMK) bagi Seksyen 6 yang memerlukan penilaian teknikal oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).
“Lanjutan ini diberi di bawah Klausa 49.1(f), iaitu kelewatan dalam mendapatkan kelulusan, permit atau kebenaran daripada mana-mana badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan.
“Tarikh siap selepas EOT 2 diunjurkan pada 12 April 2027,” kata kenyataan itu.
Mengulas lanjut PIC turut menyatakan bahawa jawatankuasa berpuas hati bahawa kedua-dua permohonan lanjutan masa adalah munasabah, berasas dan memenuhi semua kehendak kontrak.
“PIC komited untuk menyiapkan baki kerja dan memastikan Projek Jalan Pintasan Pakej 2: Air Itam – Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu diselesaikan mengikut jadual yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu.
Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI Gambar: ARKIB BULETIN MUTIARA