Projek LRT Laluan Mutiara kini pada peringkat pengambilan tanah – Exco

Admin
whatsapp image 2025 05 22 at 11.14.32

GEORGE TOWN – Status terkini projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang kini berada peringkat pengambilan tanah.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata lot-lot tanah yang terlibat dengan jajaran LRT Segmen 1 iaitu dari Komtar ke Permatang Damar laut telah diwartakan oleh Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang bersama-sama pihak MRT Corporation (MRTC).

“Kebenaran mengguna melibatkan tanah-tanah kerajaan telah diberikan kepada MRTC bagi 86 lot setakat ini.

“Selain itu, langkah-langkah bagi kerja awal sedang diusahakan selepas mendapat kelulusan di bawah Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya sebagai menjawab soalan Ahli Dewan undangan Negeri (ADUN) Telok Bahang, Muhamad Kasim dalam Sesi Soalan Lisan, Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di sini sebentar tadi.

Pada masa sama, Zairil yang juga ADUN Tanjong Bunga berkata projek tersebut juga kini berada dalam fasa persiapan awal termasuk kerja-kerja prapembinaan membabitkan pemindahan utiliti sedia ada.

“Kerja-kerja pengalihan utiliti perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang kerja pembinaan stesen atau jejambat dapat dimulakan.

“Pihak MRTC juga memaklumkan bahawa kerja-kerja fizikal bagi projek ini dijangka bermula pada suku ketiga 2025, manakala pembinaan berskala besar dijangka bermula pada suku keempat tahun 2026,” jelasnya.

Zairil berkata, bilangan penduduk yang terlibat pula hanya akan diketahui selepas siasatan di bawah seksyen 12 Akta Pengambilan Tanah (APT 1960) dijalankan.

“Proses siasatan ini akan dijalankan dalam tempoh yang terdekat memandangkan pewartaan baru digazetkan pada 10 April lalu.

“Kuantum pampasan hanya akan dapat dimuktamadkan setelah proses siasatan ke atas semua pihak berkepentingan diselesaikan.

“Setakat ini, proses penilaian pampasan masih belum dilaksanakan dan perihal ini akan ditentukan oleh pihak Tribunal Tanah,” ujarnya.

Sebagai rekod, projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang sepanjang 29.5 kilometer akan merangkumi 21 stesen strategik dan direka untuk meningkatkan keterhubungan antara Pulau Pinang dan Seberang Perai, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya serta mempertingkat aksesibiliti.

Pelan jajaran utamanya merangkumi laluan dari Pulau Tambakan Selatan Pulau Pinang (PSR-A) ke Penang Sentral dan Stesen Komtar di Georgetown,dengan perkhidmatan tren dijadualkan bergerak secara bergilir di sepanjang laluan berkenaan.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & AHMAD ADIL MUHAMAD