Projek Mesra Rakyat naik taraf TPS Lengkok Burma lebih selesa

Admin
b36ffb39 b898 4b3e a453 42d52e80c7da

PULAU TIKUS – Tapak Penjaja Sementara (TPS) Lengkok Burma kini tampil dengan wajah baharu setelah projek naik taraf bernilai RM100,000 siap April lalu.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid, dana tersebut adalah peruntukan di bawah Projek Mesa Rakyat (PMR) 2024.

“Projek yang bermula pada 15 Januari 2025 dan siap sepenuhnya pada 14 April 2025 ini melibatkan kerja-kerja penggantian dan pemasangan bumbung baharu serta penambahbaikan struktur, demi keselesaan dan keselamatan para penjaja serta pengunjung.

“Projek ini merupakan satu inisiatif penting dalam memperkukuh infrastruktur penjaja setempat yang menjadi tulang belakang ekonomi komuniti.

“Selain itu ia untuk meningkatkan kemudahan serta keselesaan para penjaja dan pengunjung yang sering mengunjungi tapak tersebut, dengan adanya struktur bumbung yang lebih kukuh dan selesa, para penjaja dapat berniaga dalam keadaan lebih teratur,” ujarnya pada Sidang Media dan Lawatan ke TPS Lengkok Burma di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Joshua Woo Sze Zeng dan Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Koay Gaik Kee.

Mengulas lanjut, Syerleena memberitahu TPS Lengkok Burma kini menempatkan kira-kira 10 penjaja makanan dan minuman yang menawarkan pelbagai juadah popular menjadikan tapak ini sebagai salah satu destinasi makanan yang penting di kawasan tersebut.

d0aa2844 a284 405a b659 c36a1935a3ed

“Sektor penjaja memainkan peranan penting dalam ekonomi komuniti dan merupakan nadi kepada kehidupan bandar.

“Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka mendapat kemudahan asas yang selesa dan selamat bagi menyokong kelangsungan perniagaan mereka,” katanya lagi.

Sementara itu Gaik Kee memberitahu sewa di TPS tersebut kekal RM21 sebulan dan MBPP belum bercadang menaikkannya.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD