TANJUNG BUNGA – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid menyumbang RM127,500 bagi kerja-kerja naik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Tokong melalui Projek Mesra Rakyat (PMR).
Jelasnya, keselesaan dan keselamatan di kawasan sekolah sangat penting bagi memastikan persekitaran ketika murid-murid menuntut ilmu lebih bermaruah.
“Ia melibatkan kerja-kerja membuka bumbung lama, jenis genting konkrit dan juga menggantinya dengan bumbung jenis logam, yang lebih tahan tetapi yang lebih penting ia lebih selamat.
“Jadi, kerja-kerja penyenggaraan tandas sekolah juga melibatkan waterproofing, penstrukturan semula sistem kumbahan dan lain-lain lagi.
“Kemudahan asas seperti bumbung dan tandas mungkin kelihatan seolah-olah perkara yang kecil, tapi sesetengah pihak dan juga bagi anak-anak kita, ia memberi kesan yang lebih besar iaitu kesan yang bagus dari segi kesihatan keselamatan dan maruah, jadi, sekolah yang selesa membantu anak-anak kita belajar dengan lebih fokus lebih yakin dan lebih gembira,” ujarnya semasa mengadakan lawatan siap kerja di SK Tanjung Tokong di sini pada 18 Disember 2025.
Syerleena dalam pada itu memaklumkan bahawa Dewan Rakyat telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli 2025 baru-baru ini.

Tambahnya, RUU Antibuli 2025 itu bertujuan mencegah dan menguruskan kes buli di institusi pendidikan serta institusi lain, selain menyediakan peruntukan bagi penubuhan Tribunal Antibuli bagi meningkatkan kesedaran dan pencegahan terhadap gejala terbabit.
“Undang-undang ni sahaja tidak mencukupi tetapi ia memberi mesej yang jelas bahawa negara kita ini memandang serius terhadap isu kebajikan dan juga keselamatan anak-anak kita.
“RUU ini lahir daripada realiti sebenar iaitu suara anak-anak kita kadang-kadang takut dia takut pergi sekolah ibu bapa yang risau dan juga cikgu-cikgu yang berdepan dengan cabaran menangani buli fizikal, verbal dan sekarang ni cabaran buli siber.
“Jadi, tanggungjawab ini kita perlu pikul bersama sekolah ibu bapa komuniti dan wakil rakyat,” katanya lagi.
Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI