Projek naik taraf Jalan Teluk Kumbar kepada empat lorong mampu lancarkan aliran trafik di Barat Daya

img 20250806 wa0020

GEORGE TOWN – Projek menaik taraf Jalan Teluk Kumbar (Laluan Persekutuan FT006, Seksyen 20.00–23.00) daripada dua lorong ke empat lorong dijangka dapat mengurang kesesakan trafik di Daerah Barat Daya terutama pada waktu puncak.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata projek penaiktarafan tersebut telah diluluskan oleh Bahagian Pengurusan Portfolio, Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan Cawangan Jalan KKR di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMKe-13).

img 7680
Zairil Khir Johari.

Walau bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa projek tersebut kini dalam proses menunggu kelulusan akhir daripada Kementerian Ekonomi untuk kelulusan penuh.

“Apabila siap kelak, projek ini akan membantu mengurangkan kesesakan trafik daripada Tahap Perkhidmatan (LOS) F kepada LOS A.

“Selain itu, projek ini juga dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan dengan reka bentuk moden dan persimpangan yang diperbaiki.

“Masa perjalanan dari Teluk Kumbar ke Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, zon perindustrian Bayan Lepas dan Jambatan Kedua Pulau Pinang juga akan menjadi lebih cepat,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi semalam.

Menurut Zairil, pelaksanaan projek tersebut kelak dapat menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kawasan Teluk Kumbar dan Balik Pulau melalui akses yang lebih baik.

img 20250806 wa0016
Jalan Teluk Kumbar kini hanya mempunyai dua lorong.

img 20250806 wa0017

Beliau berkata, skop projek adalah merangkumi penukaran jalan tunggal dua lorong (T1-1) kepada jalan berkembar empat lorong (K2-2) sepanjang 4.2 kilometer (km) mengikut piawaian jalan bandar U5.

“Skop projek turut melibatkan pembinaan semula jambatan Sungai Mati dan pembentung berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teluk Kumbar.

“Selain itu, kerja-kerja menaik taraf lapan persimpangan (tujuh persimpangan biasa dan satu persimpangan lampu isyarat) bagi kelancaran trafik.

“Justeru, Kerajaan Negeri berharap agar kelulusan penuh dapat diberikan oleh Kementerian Ekonomi untuk dilaksanakan dalam Rolling Plan 1 (RP1) RMKe-13,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga.

Dalam pada itu, ADUN Bayan Lepas, Dato’ Azrul Mahathir Aziz menyambut baik kelulusan awal projek manfaat rakyat tersebut yang dijangka dapat dimulakan pada awal tahun 2026.

img 7679
Azrul Mahathir Aziz.

“Pembesaran jalan bermula dari Bukit Belah (turun) sepanjang 3km sehingga ke Puspakom amat diperlukan segera bagi menyambung jaringan jalan raya yang telah ada seperti lebuh raya iaitu di Bukit Genting dan Pekan Bayan Lepas.

“Sebagai ADUN sejak 2018, saya kerap kali membangkitkan hal ini di Dewan Undangan Negeri (DUN) dan di Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Daerah Barat Daya dan akhirnya projek ini dapat direalisasikan tidak lama lagi.

“Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Ketua Menteri (Tuan Chow Kon Yeow) dan Ahli Parlimen Balik Pulau (Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik) kerana telah membawa perkara ini secara serius ke Parlimen untuk perhatian kerajaan Madani,” katanya.

Azrul Mahathir yang juga Timbalan Yang Dipertua DUN Pulau Pinang berkata apabila siap kelak, projek tersebut bakal memberikan manfaat kepada ribuan pengguna jalan raya sekali gus meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta fasiliti rakyat di selatan Pulau Pinang.

“Semoga projek ini dapat diluluskan segera tanpa ada sebarang penangguhan lagi,” katanya dengan penuh harapan.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menerusi kenyataan di laman Facebooknya memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat mengalu-alukan inisiatif KKR yang telah mengangkat permohonan kerja awalan projek naik taraf projek tersebut pada RP1 RMKe-13 untuk pertimbangan agensi pusat.

“Dengan ini, Kerajaan Negeri berharap permohonan berkaitan bakal memperoleh perhatian Persekutuan sewajarnya ekoran keperluan mendesak sebagai penyelesaian kepada masalah kesesakan meruncing dialami kini.
“Sebagai tambahan, permohonan berkaitan telah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sejak RMKe-11,” katanya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT